KUALA LUMPUR – Isu pengambilalihan Menara Kuala Lumpur (KL) mencetuskan kontroversi kerana pemindahan pengurusan menara ikonik itu bercanggah dengan dasar kerajaan yang diamalkan sebelum ini.
Ketua Penerangan Bahagian Hulu Langat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, ini kerana sesebuah syarikat perlu memiliki pegangan sahamnya 100 peratus milik Bumiputera.
Justeru, beliau mendakwa penyerahan pengurusan baharu kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) telah mewujudkan beberapa ketidakpatuhan dan kecacatan dalam proses pemberian konsesi.
“Pada waktu pembidaan, anak syarikat tersebut iaitu LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM) belum lagi ditubuhkan dan semasa pembidaan, LSHSM tidak memenuhi syarat sebagai syarikat milik Bumiputera.
“Manakala syarikat perantara yang digunakan oleh LSH Capital untuk memiliki LSHSM iaitu LSH Best Builders Sdn. Bhd. juga bukan syarikat milik Bumiputera.
“Hanya selepas konsesi diberikan barulah LSHSM menjadi syarikat dengan pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus,” dakwanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shafiq memberitahu, laporan polis dibuat terhadap beberapa individu untuk disiasat atas kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau penerimaan suapan dalam pemberian konsesi kepada syarikat yang bukan milik Bumiputera atau yang tidak memenuhi syarat pemilikan Bumiputera.
Katanya, ia melibatkan individu seperti Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Muhammad Razman Abu Samah dan Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil.
“Saya turut mendesak agar LSHSM disiasat bagi menentukan sama ada pemilikan ekuiti 30 peratus peratus Bumiputera yang dikemukakan adalah tulen atau hanya satu bentuk penipuan korporat.
“Isu Menara KL bukan sebab perkauman tetapi lebih kepada dasar kerajaan yang bercanggah kerana kerajaan perlu menjawab sama ada dasar sedia ada sudah tidak terpakai atau telah dipinda,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan memastikan sebarang tindakan yang akan diambil dalam isu pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur dibuat selaras dengan proses undang-undang.
Kementerian Komunikasi berkata, ia mengambil maklum mengenai writ saman dan permohonan injunksi yang difailkan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu bagi pengurusan menara itu.
Ia menegaskan, Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya membabitkan perubahan pengurusan dan operasi yang dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP), iaitu suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
Pada 28 Mac lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman ke atas kerajaan dan beberapa pihak lain untuk menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.
Mereka membuat tuntutan itu susulan dakwaan penamatan perjanjian mereka secara salah pada November 2022, termasuk lanjutan konsesi syarikat daripada 15 tahun kepada 30 tahun.
Ia berikutan keputusan kerajaan pada Mei tahun lalu untuk menganugerahkan konsesi pengurusan menara itu kepada entiti lain, iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM)
Syarikat itu dalam kenyataan, menegaskan sebarang tindakan pengambilalihan Menara KL oleh LSHSM pada Syawal kedua adalah tidak sah. – MalaysiaGazette