Benjamin Netanyahu, Donald Trump
Gambar fail pertemuan PM Israel Benjamin Netanyahu dengan Presiden AS, Donald Trump Foto AFP

WASHINGTON – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka bertemu Presiden Donald Trump Isnin ini di Washington bagi membincangkan beberapa isu termasuk tarif dan ‘ancaman Iran.’

Perkara itu disahkan pejabat beliau menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Kedua-dua negara sedang berdepan dengan beberapa isu rumit, termasuk keputusan mengejut Trump mengenakan tarif sebanyak 17 peratus ke atas import dari Israel.

Selain itu, AS dan Israel turut berdepan usaha berterusan mencari jalan penyelesaian damai di Gaza serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap program nuklear Iran.

“Netanyahu akan bertemu Trump untuk “membincangkan tarif, usaha membawa pulang tebusan Israel (dari Gaza), hubungan Israel-Turki, ancaman Iran, dan perjuangan menentang Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah menuduh pemimpin Israel itu melakukan jenayah perang,” kata pejabat beliau di Jerusalem.

Perbincangan mengenai tarif itu akan menjadikan Netanyahu sebagai pemimpin asing pertama yang melawat Washington untuk berunding mendapatkan perjanjian yang lebih baik dengan Trump.

Israel sebelum ini cuba mengelak daripada dikenakan tarif yang dikenakan ke atas hampir semua negara dengan bertindak memansuhkan semua duti yang masih dikenakan terhadap satu peratus barangan Amerika, sehari sebelum Trump melaksanakan tarif baharunya.

Namun, Trump tetap meneruskan pelaksanaan tarif tersebut dengan alasan Amerika Syarikat mempunyai defisit perdagangan yang ketara dengan Israel yang merupakan sekutunya dan penerima bantuan ketenteraan terbesar AS.

Trump pada Khamis menyatakan bahawa beliau menjangkakan Netanyahu akan melawat dalam masa terdekat — “mungkin minggu hadapan” — walaupun laman web Axios melaporkan bahawa pegawai Israel dan sebahagian daripada pentadbiran Trump sendiri terkejut dengan perkembangan itu.

Turut berada dalam agenda perbincangan ialah usaha mencapai perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza yang tergendala serta pemulangan baki tebusan oleh Hamas.

Israel telah menyambung operasi ketenteraan di wilayah bergolak itu bulan lalu selepas satu tempoh gencatan senjata singkat.

Sementara itu, Trump terus menekan Iran untuk memeterai perjanjian baharu mengenai program nuklearnya.

Terdapat spekulasi meluas bahawa Israel, dengan kemungkinan bantuan Amerika Syarikat akan melancarkan serangan ketenteraan ke atas fasiliti Iran jika tiada perjanjian dicapai.

Lawatan Netanyahu ke Amerika Syarikat yang pada asalnya dijangka berlaku lewat bulan ini, dilaporkan telah diawalkan berikutan pengumuman tarif pada hari Rabu, menurut Axios.

Trump dan Netanyahu telah berbual melalui telefon pada Khamis mengenai keputusan Hungary untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dan kemungkinan lawatan ke Washington itu dipercayai timbul ketika perbualan tersebut. -AFP

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here