Tangkap layar CCTV sebuah Perodua Kelisa berwarna perak yang diburu polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kehilangan seorang gadis kurang upaya (OKU) dari taman permainan di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, Melaka semalam.

MELAKA – Polis sedang memburu pemandu kereta Perodua Kelisa berwarna perak selepas dipercayai terlibat dalam kes kehilangan seorang gadis kurang upaya (OKU) di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, di sini, semalam.

Kehilangan mangsa, Nurin Wardina Hairi, 18, yang merupakan OKU pembelajaran disedari ibunya, Hamnahwati Mohamad, 48, pada jam 5.30 petang selepas mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah sebaik keluar bermain di taman permainan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, adalah menjadi kebiasaannya anaknya itu akan pulang selepas bermain buaian di taman berkenaan.

“Bagaimanapun, semalam remaja berkenaan yang hanya mampu bertutur seperti kanak-kanak berusia tiga tahun, sukar didekati dan tidak mempunyai kawan rapat didapati tidak pulang ke rumah sehingga jam 5.30 petang.

“Sebelum kejadian, pengadu iaitu ibunya ada mengajaknya untuk menghantar anak keduanya ke tempat kerja di Tanjung Minyak, tetapi remaja berkenaan enggan kerana mahu bermain di taman permainan,” katanya, di sini, hari ini.

Christopher Patit

Tambahnya ketika itu, pengadu ada melihat sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berwarna perak diletakkan berhampiran rumahnya dalam keadaan yang mencurigakan.

“Namun pengadu beranggapan kereta tersebut milik pengunjung inap desa di sebelah rumahnya dan terkejut apabila mendapati anaknya itu tiada di rumah sebaik pulang pada kira-kira jam 5.30 petang.

“Selepas gagal mencari anaknya itu di taman permainan, seorang penduduk taman mendakwa terlihat gadis OKU itu ikut dan masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa terbabit secara sukarela dan tiada unsur paksaan,” katanya.

Christopher berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk menyangka kereta tersebut adalah milik saudara mara remaja terbabit.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu dan pegawai penyiasat telah pergi ke tempat kejadian untuk mendapatkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) pergerakan kereta terbabit.

“Sehingga kini, polis masih mengesan pemilik kenderaan itu dan kes disiasat sebagai kes Orang Hilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here