MELAKA – Seorang suri rumah kerugian RM12,000 apabila rantai emas dipakai diragut dua lelaki menaiki motosikal biru di hadapan rumahnya di Taman Paya Dalam, Tiang Dua di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.34 malam itu, mangsa wanita berusia 55 tahun ketika itu sedang menunggu anaknya untuk keluar bekerja di hadapan rumah.
“Ketika sedang menunggu anak, mangsa ternampak sebuah motosikal bernombor pendaftaran yang tidak pasti dinaiki dua lelaki melintasi hadapan rumahnya sebelum tiba-tiba mereka berpatah balik.
“Suspek yang menaiki motosikal jenis Kawasaki RR berwarna biru kemudian menuju ke arah mangsa sebelum seorang daripadanya merentap rantai leher emas 916 yang dipakai dianggarkan bernilai RM12,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut Christoper, wanita berkenaan dia cuba melawan namun gagal menyebabkan kedua-dua suspek yang memakai topi keledar dan baju lengan hitam berjaya melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati, kita percaya suspek dalam kes ini adalah individu sama terlibat dalam jenayah modus operandi sama di Taman Astakajaya, Buloh Kasap, Segamat, Khamis lalu.
“Kejadian ini yang sempat dirakamkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) rumah mangsa yang mengalami sakit dada dan laporan polis dibuat di Balai Polis Tiang Dua pada hari kejadian,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial klip video CCTV berdurasi 31 saat memaparkan kejadian ragut berkenaan oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal bewarna biru.
Hari ini, media melaporkan dua lelaki menaiki motosikal dipercayai individu sama meragut rantai emas seorang wanita yang sedang jalan beraya di Taman Astakajaya, Segamat, Khamis lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.08 malam yang turut tular melalui CCTV menyebabkan mangsa wanita warga tempatan cedera. – MalaysiaGazette