SHAH ALAM – Seramai 219 keluarga yang berdaftar dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan mula menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Petronas melalui kerajaan negeri bermula petang ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilik yang rumahnya musnah sepenuhnya akan menerima RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada Petronas.
“Bagi pemilik yang rumahnya separa musnah, mereka akan mendapat RM5,000, masing-masing RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada Petronas.
“Bagi penyewa rumah pula, mereka akan mendapat RM5,000 masing-masing RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan, dan RM2,500 daripada Petronas,” katanya pada sidang media di Dewan Annex, Bangunan SUK Selangor hari ini.
Terdahulu Amirudin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor ke-6 mengenai kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan.
“Ia bagi membolehkan mereka menyewa rumah sementara rumah sedang diperbaiki ataupun dibina semula. Peruntukan ini dianggarkan sebanyak RM7.356 juta yang meliputi 617 keluarga secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, seramai 28 pelajar yang menetap di PPS diberikan pengangkutan secara percuma ke sembilan sekolah.
“Usaha ini melibatkan kerjasama kenderaan Prasarana Sdn Bhd serta diselaraskan Yayasan Islam Darul Ehsan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta pasukan sukarelawan,” katanya.
Tambah beliau, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) turut memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada 265 pelajar bagi membolehkan mereka membeli keperluan asas yang termusnah akibat kebakaran.
“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri juga akan memulakan usaha sokongan moral seperti kaunseling khusus kepada pelajar-pelajar yang terkesan trauma akibat mengharungi tragedi kejadian kebakaran tempoh hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette