Mohideen.
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) supaya melarang institusi kewangan daripada mempromosikan sebarang bentuk insurans, khususnya insurans berkaitan pelaburan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP menerima aduan bahawa pegawai bank mendekati pelanggan di dalam bank untuk mempromosikan insurans berkaitan pelaburan sebagai ‘pilihan pelaburan yang lebih baik’ berbanding simpanan tetap.

Menurut beliau, dalam kebanyakan kes, pelanggan tidak dimaklumkan bahawa produk yang ditawarkan adalah insurans berkaitan pelaburan yang memerlukan pembayaran premium selama beberapa tahun.

“Salah satu kes melibatkan seorang wanita hampir bersara yang diberitahu bahawa pelan ditawarkan hanyalah ‘pelan simpanan’ selama lima tahun.

“Selepas tempoh itu, beliau hanya menerima sebahagian kecil daripada jumlah yang dibayar dan diminta terus membayar premium tahunan selama 30 tahun lagi.

“Ada banyak kes sebegini melibatkan warga emas yang mana polisi insurans dijual kepada mereka walaupun jelas mereka tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi. Malah, ada yang diarahkan mendaftar kemudahan auto-debit dan tempoh polisi melebihi jangka hayat mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, promosi produk insurans daripada dalam bank boleh mengelirukan pelanggan kerana mereka menyangka ia adalah produk simpanan yang ditawarkan oleh bank itu sendiri.

“Sehubungan itu, kita mencadangkan supaya sekiranya bank ingin menjadi ejen syarikat insurans, promosi perlu dijalankan di premis berasingan dan BNM perlu memastikan produk sebegini tidak dipromosikan kepada golongan rentan seperti warga emas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here