Tangkap layar CCTV sebuah Perodua Kelisa berwarna perak yang diburu polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kehilangan seorang gadis kurang upaya (OKU) dari taman permainan di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai, Melaka semalam.

MELAKA – Gadis kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Bukit Rambai di sini semalam disahkan diculik seorang lelaki yang membawanya sejauh 510 kilometer sebelum mangsa dijumpai di Sungai Petani, Kedah hari ini.

Perbuatan berkenaan terbongkar selepas polis berjaya menahan suspek, peniaga berusia 40 tahun yang melarikan remaja berusia 18 tahun itu menaiki sebuah Perodua Kelisa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku tidak mengenali mangsa tetapi membawanya menaiki kereta Perodua Kelisa untuk bersiar-siar di Seremban, Ipoh, Bukit Mertajam sehingga ke kampungnya di Baling, Kedah.

“Pemeriksaan fizikal luaran di tubuh mangsa juga mendapati tiada kesan kecederaan luaran namun keluarganya sudah membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan yang dipandu suspek juga tidak menemukan sebarang barang-barang terlarang.

“Bagaimanapun, suspek yang akan direman mempunyai rekod lampau berkaitan pengambilan dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Polis Melaka sedang memburu pemandu Perodua Kelisa berwarna perak selepas dipercayai terlibat dalam kes kehilangan gadis OKU berkenaan dari taman permainan di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai.

Kehilangan mangsa, Nurin Wardina Hairi, 18, yang merupakan OKU pembelajaran disedari ibunya, Hamnahwati Mohamad, 48, pada pukul 5.30 petang apabila mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain di taman permainan.

Sebelum kejadian, ibu mangsa ada terlihat sebuah kereta Perodua Kelisa berkenaan yang diletakkan berhampiran rumahnya dalam keadaan mencurigakan.

Selepas gagal mencari mangsa di taman permainan, seorang penduduk taman mendakwa terlihat gadis OKU itu masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa terbabit sebelum ibunya membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here