Suasana senja di Pintu utama Istana Negara berikutan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang akan berlangsung pada esok hari ketika di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2024.

HAL-EHWAL berkaitan agama Islam terletak sepenuhnya di bawah kuasa Sultan di setiap negeri.  Dalam konteks Perlembagaan Malaysia, kedudukan Raja-raja Melayu amat istimewa. Artikel 3(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan, manakala bagi negeri-negeri Melayu, Sultan masing-masing adalah Ketua Agama Islam di negeri tersebut.

Sebagai Ketua Agama Islam, Sultan bertanggungjawab atas hal ehwal agama Islam, termasuklah perkara berkaitan wakaf, zakat, baitulmal dan masjid.

Baru-baru ini kita digemparkan, di mana Dewan Rakyat Parlimen India telah meluluskan satu rang undang-undang kontroversi yang dibawa oleh kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi bagi meminda undang-undang yang mentadbir endowmen tanah Wakaf milik umat Islam.

Rang undang-undang tersebut akan menambah ahli bukan Muslim ke dalam lembaga yang menguruskan endowmen tanah wakaf dan memberi peranan yang lebih besar kepada kerajaan dalam mengesahkan pemilikan tanah tersebut.

Kerajaan India menyatakan bahawa pindaan ini bertujuan untuk membanteras rasuah dan salah urus tadbir, serta mempromosikan kepelbagaian. Namun begitu, para pengkritik bimbang ia akan terus melemahkan hak-hak golongan minoriti Muslim di negara itu dan boleh digunakan untuk merampas masjid-masjid bersejarah serta harta lain.

Namun, berbeza dengan Malaysia, di mana punca kuasa wakaf bukan terletak pada Kerajaan Persekutuan mahu pun Kerajaan Negeri. Namun istemewanya kita, kerana ianya terletak di bawah kuasa Raja di setiap negeri berdaulat di Malaysia.

Peninggalan penjajah British, pada suatu ketika dahulu, telah memperuntukkan apa-apa perkara berkaitan agama Islam, adalah di bawah punca kuasa pentadbiran institusi Raja. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal Islam termasuk wakaf adalah di bawah bidang kuasa negeri, dan setiap negeri mempunyai Enakmen Wakaf serta Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang bertindak sebagai pemegang amanah tunggal.

Ini berbeza dengan India, di mana struktur perundangannya membolehkan kerajaan pusat campur tangan secara langsung dalam hal ehwal wakaf.

Apa yang berlaku di India boleh menjadi pengajaran penting kepada Malaysia agar tidak terjerumus ke dalam perangkap liberalisasi pengurusan wakaf.

MAIN perlu memperkukuhkan  undang-undang wakaf di peringkat negeri dan persekutuan dengan memastikan kuasa Raja sebagai pelindung wakaf  tidak dicabar.

Malah yang lebih penting, mendidik masyarakat tentang hak dan sensitiviti harta wakaf.

Maksud wakaf, fungsi wakaf, hukum wakaf dan matlamat wakaf perlu dipasakkan dalam minda masyarakat secara berterusan.

Bagi memastikan tiada unsur luar yang boleh menguruskan atau mempengaruhi keputusan ke atas wakaf.

Khususnya yang melibatkan hukum Islam, penting untuk mengingatkan semua pihak terutamanya kerajaan bahawa limitasi undang-undang yang telah dibina sejak sekian lama perlu dihormati. Ini penting bagi memberikan satu pengiktirafan dan perghormatan kepada Institusi Raja sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Malaysia.

Akhir-akhir ini juga, istilah wakaf semakin popular digunakan oleh pelbagai pihak untuk menggerakkan kempen pengumpulan dana wakaf.

Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, pelbagai organisasi, sama ada institusi agama, pendidikan, badan kebajikan, mahupun syarikat swasta menggunakan label wakaf untuk meraih sumbangan masyarakat.

Namun, persoalannya, sejauh manakah penggunaan istilah wakaf ini benar-benar menepati maksud undang-undang Malaysia dan hukum syarak, atau sekadar menjadi alat pemasaran untuk menarik simpati penyumbang?

Terlalu banyak istilah untuk menghalalkan penggunaan pengumpulan dana awam,  telah digunakan oleh pelbagai pihak, sama ada secara sah mahupun tidak. Antara istilah yang kerap digunakan termasuklah wakaf, infaq, sedekah, endowmen, derma, wakaf tunai, wakaf pendidikan, dan pelbagai lagi nama yang menarik perhatian masyarakat.

Tidak dinafikan, sesetengah pihak benar-benar berhasrat menjalankan amal kebajikan dengan telus dan jujur, namun terdapat juga segelintir yang menyalahgunakan istilah-istilah ini demi meraih keuntungan peribadi.

Kebanyakan masyarakat kurang jelas tentang perbezaan istilah tersebut, lalu mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai kempen kutipan dana yang dilancarkan di media sosial mahupun secara bersemuka. Apatah lagi para pelopor kutipan dana datang dengan pelbagai imej yang menarik perhatian masyarakat.

Lebih membimbangkan, ada yang mengutip dana wakaf tidak disertai dengan kelulusan atau pemantauan pihak berkuasa agama, seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Akibatnya, wujud risiko penipuan, penyalahgunaan dana, dan ketidakjelasan tentang siapa sebenarnya yang diamanahkan untuk mengurus dana yang dikumpulkan.

Peredaran zaman dan tuntutan ekonomi semasa, menyebabkan tidak ramai masyarakat Muslim yang mampu mewakafkan hartanah mereka. Malah, kecenderungan masyarakat untuk menyumbang kepada wakaf tunai, menyebabkan terdapat pihak tertentu yang turut mengambil peluang untuk menjalankan aktiviti wakaf secara tidak sah. Iaitu tanpa kebenaran daripada MAIN selaku pemegang amanah tunggal.

Oleh kerana itu, masyarakat perlu lebih cakna dan bertanggungjawab sebelum menyumbang apa-apa dana wakaf supaya tidak berlaku penyelewengan terancang yang tentunya sukar untuk dikenalpasti dalam tempoh yang singkat.

Sumbangan atas nama wakaf, perlu dilakukan melalui saluran yang sah, diiktiraf, dan diyakini integriti serta ketelusannya. Jika tidak, amanah umat Islam yang sepatutnya memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat akhirnya mungkin tersasar daripada tujuan asal.

Jika masyarakat faham akan maksud wakaf dan punca kuasa yang mengikatnya, mereka tidak akan bersetuju dengan kumpulan pengutip dana wakaf yang gagal mempamerkan bukti dokumen kebenaran mengutip dana wakaf dari MAIN. Malah, wakaf secara prinsipnya adalah satu amalan ibadah yang sangat efektif bagi membangunkan ekonomi Islam jika diuruskan dengan jujur dan amanah oleh pihak yang bertanggungjawab.

Secara teknikalnya, kuasa yang dimiliki oleh MAIN sebagai pemegang amanah tunggal adalah satu kebenaran yang diberikan oleh Sultan bagi mewakili Institusi Beraja ini dalam menguruskan amanah wakaf bagi pihaknya di peringkat negeri. Menurut konteks undang-undang Islam pula, wakaf adalah amanah Allah SWT yang diberikan kepada pemerintah untuk diuruskan dengan sebaiknya. Hartanah wakaf bukan milik sesiapa, tetapi milik Allah SWT yang harus diuruskan secara adil untuk manafaat ummah.

Oleh sebab itu, masyarakat perlu sedar, setiap kali mereka “berwakaf”, khususnya secara tunai, pada siapakah wakaf tunai tersebut diberikan? Jika masyarakat cakna akan peranan yang digalas oleh mereka dalam menjayakan pembangunan harta wakaf  ini sangat penting, tentu masyarakat akan lebih bersikap ambil tahu pada siapa wakaf tersebut hendak dibangunkan.

Apabila harta wakaf diertikan sebagai satu zat yang berkekalan,tentulah wakaf bukan sedekah yang bersifat “pakai buang” atau “habis”. Umpama kita memberikan sumbangan beras, ia bukan wakaf. Sebaliknya, ia adalah sedekah. Kerana sifat “kekal” tidak wujud pada sedekah beras. Habis dimakan, lalu tamatlah manafaat tersebut untuk mengenyangkan orang yang memakannya .

Tiada nilai jariah di situ. Sebab itulah, masyarakat perlu memahami wakaf adalah sesuatu kaedah sumbangan yang bersifat kekal. Contoh paling mudah, bagaimanakah Hotel Waqf Saidina Outhman Bin Affan masih terus kukuh tersergam indah di bumi Madinah sehingga hari ini? Meskipun beliau telah meninggalkan dunia beribu tahun lamanya.

Ini kerana hotel tersebut telah pun mempratikkan konsep wakaf yang tepat, di samping diuruskan oleh mereka yang amanah dan cekap dalam mengimarahkan harta wakaf. Lalu hasil dari hotel wakaf inilah yang diagih-agihkan untuk memenuhi keperluan masyarakat yang juga merupakan agihan kebajikan yang ditunggu-tunggu manafaatnya.

Amalan berwakaf bukan sekadar pengumpulan wang semata-mata. Ia melibatkan pematuhan kepada syarat-syarat syarak yang ketat, pengurusan yang telus serta rekod pendaftaran yang sah. Harta wakaf mesti diurus oleh pemegang amanah yang diiktiraf undang-undang, iaitu MAIN di Malaysia.

Dalam konteks ini, pihak yang melancarkan projek wakaf perlu mendapatkan kebenaran atau bekerjasama secara rasmi dengan MAIN, bukan bertindak secara bersendirian dengan membelakangkan MAIN.

Amanah yang diberikan oleh Sultan kepada MAIN, besar tanggungjawabnya dan bukan sekadar simbolik, bahkan mempunyai implikasi besar dalam pentadbiran harta wakaf. Sultan, sebagai Ketua Agama Islam, diiktiraf sebagai pemegang amanah tertinggi terhadap semua harta wakaf di negeri masing-masing. Kuasa ini termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri, yang memperuntukkan bahawa MAIN bertindak sebagai pemegang amanah bagi pihak Sultan dalam mentadbir dan menguruskan harta wakaf.

Ketegasan kuasa Sultan menjaga amanah wakaf adalah untuk melindungi pencerobohan harta wakaf daripada menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu. Sultan, sebagai simbol kedaulatan agama dan keadilan Islam, bertindak tegas melalui peruntukan enakmen negeri, khususnya yang berkaitan dengan Enakmen Wakaf, Enakmen Pentadbiran Agama Islam, dan fatwa-fatwa negeri, yang semuanya memerlukan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebelum diwartakan atau dikuatkuasakan.

Ketahuilah, kedatangan British dahulu telah “merampas” hak dan kuasa Sultan dalam bidang pentadbiran negeri. Justeru, kita hari ini hormatilah kuasa Sultan dalam mengemudi wakaf di setiap negeri. Cukuplah perginya British dengan membawa “pergi kuasa tersebut”.

Penjagaan wakaf tidak boleh dipisahkan daripada institusi Raja-Raja Melayu, yang memainkan peranan utama dalam memastikan kelestarian manfaat harta wakaf kepada umat Islam, selaras dengan kehendak syarak.

Tidak ada satu pihak pun yang boleh menuntut atau memiliki harta wakaf sebagai hak peribadi, kerana ianya telah keluar daripada hak milik individu apabila diwakafkan, menjadi milik Allah secara kekal untuk manfaat umum.

Kedaulatan dan kuasa Sultan dalam hal ehwal agama Islam adalah benteng utama dalam melindungi harta wakaf daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pemilikan tidak sah. Bagi memastikan institusi wakaf terus berfungsi sebagai sumber kekuatan ekonomi dan sosial umat Islam, sejajar dengan matlamat asal pewakaf yang ingin menyumbang kepada kebajikan ummah secara berkekalan, penggubalan Akta Harta Wakaf Negara perlu segera digubal.

Penggubalan Akta Wakaf Negara ini perlulah dimainkan peranannya oleh JAWHAR selaku penyelaras wakaf di peringkat perseketuan. Tidak cukup dengan Enakmen Wakaf Negeri sedia ada, kewujudan Akta Wakaf Negara akan membantu melindungi dan melonjak perkembangan pembangunan apa-apa perkara berkaitan wakaf. Ianya perlu dilindungi dari semua aspek, lantaran wakaf bukan dari manusia, tapi dari Allah SWT.

Oleh,

Dr Siti Nadiah binti Mohd Ali dan Dr Huraizah binti Arshad

Kedua-duanya adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah,

Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)  Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar.

-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here