Proses pengundian pemilihan kepimpinan PKR bermula hari ini di Kedah dan Pulau Pinang.
Proses pengundian pemilihan kepimpinan PKR bermula hari ini di Kedah dan Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad pemilihan peringkat Cabang yang diumumkan hari ini menyaksikan beberpa pemimpin kanan PKR tewas.

Menerusi laman sesawang parti itu, antara yang tewas ialah Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Beliau yang menerima 563 undi tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki yang meraih 631 undi.

Di Johor Bahru, Pengarah Strategi PKR yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tewas kepada Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail.

Akmal memperoleh 587 undi manakala Taufiq mendapat 709 undi.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung turut mengalami nasib yang sama apabila gagal merebut jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya manakala Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan tewas di tangan K Novinthen.

Kekalahan ini disahkan selepas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menyemak dan menolak rayuan yang dikemukakan, sekali gus mengesahkan keputusan asal.

Pada pemilihan semula di empat Cabang membabitkan Selayang, Jempol, Silam dan Pasir Salak menyaksikan perubahan kepimpinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menang di Selayang, Manivanan Gowin yang merupakan Setiausaha Politik Presiden PKR menang di Jempol dan Hisamuddin Ali menang di Pasir Salak.

Hanya Cabang Silam kekal dengan penyandang, Romansa Lamin.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, semua keputusan itu dimuktamadkan selepas pembentangan laporan JPP serta audit pihak ketiga.

Ia membuka laluan kepada pelaksanaan Sistem Perwakilan Berkadar dalam Kongres Tahunan PKR 2024/2025 yang akan berlangsung di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini.

Menerusi sistem ini, calon Ketua Cabang yang tewas masih boleh menghantar perwakilan ke Kongres mengikut kadar undi yang diperoleh, sejajar prinsip demokrasi yang menang tidak menang semua yang kalah tidak kalah semua.

Sementara itu, sumber PKR berkata, parti itu mengambil keputusan tidak mengadakan semula pemilihan yang dipertikaikan oleh segelintir ahli selepas laporan audit dilakukan sebuah firma antarabangsa baru-baru ini.

Difahamkan, dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, kepimpinan parti sebulat suara bersetuju menerima keputusan pemilihan yang telah dijalankan.

Menurut sumber, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak menghentikan polemik berkaitan keputusan pemilihan dan mengarahkan supaya parti terus bergerak ke hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast