Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad bercakap pada sidang media mengenai berlepas ke Nepal membawa misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest "Mencari Hati Emas" di KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 APRIL 2025

SEPANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia membuat penilaian semula ke atas mana-mana 218 rumah di Putra Heights, Subang Jaya sekiranya pihaknya menerima laporan mengenai kerosakan susulan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, walaupun pihaknya telah melakukan penilaian dan mengesahkan kediaman itu tidak terjejas, namun tiada jaminan struktur premis terbabit bebas kerosakan pada masa hadapan.

“Tak boleh jamin saja (struktur rumah kukuh dua tahun), kalau pemilik kata tiba-tiba ada retak atau apa yang dia kesan itu, kena maklum kepada pihak berkuasa dan kita akan buat penilaian semula,” katanya kepada pemberita di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengesahkan sebanyak 437 buah rumah dikenal pasti terkesan setelah pasukan teknikal turun dari rumah ke rumah dan melaksanakan proses pemeriksaan terhadap struktur dan kerosakan.

Daripada jumlah itu, Amirudin berkata, sebanyak 81 rumah disahkan dalam kategori musnah sepenuhnya, manakala 81 lagi ditakrifkan sebagai separa musnah serta 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kesan kepada strukturnya.

Bagaimanapun katanya, baki sebanyak 218 rumah pula tidak terjejas.

Ditanya pemberita tentang kaedah digunakan JBPM dalam membuat penilaian rumah terbabit, Nor Hisham berkata, ia mengambil kira daripada segi struktur sama ada impak gegaran mahupun pendedahan kepada haba.

“Terdapat juga rumah yang kita nilai pada peringkat awal itu, kita dapati bahawa tidak berlaku pendedahan kepada haba, maknanya tidak berlaku kebakaran, bahang dan kesan.

“Apabila kita bersama dengan pemilik rumah, ada juga akibat gegaran itu yang syiling rosak, itu kita telah ambil kira, kes ini kita dapati bahawa ia tidak terjejas sama sekali,” jelasnya.

Selain itu, kata Nor Hisham, walaupun jumlah kerugian yang direkodkan yang merangkumi bangunan dan isi kandungannya mencecah RM65.4 juta, namun pihaknya berjaya menyelamatkan kerugian lebih besar.

“Sebagaimana yang dimaklum oleh Menteri Besar, kita selamat pun RM285 juta berdasarkan kepada simulasi radian di kawasan zon merah

“Kalau kita tengok radian zon merah ini, dia punya sebaran haba itu menjangkau 325 meter radius dari pusat kebakaran.

“Berdasarkan kepada pemerhatian lapangan kita, kita menggunakan jarak 280 meter radius sebagai kawasan yang kita buat penilaian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika ini JBPM diperlukan dalam melakukan dua tugasan utama termasuk kerja-kerja pengepaman air dari kawah pusat kebakaran dan mengumpulkan maklumat lanjut mengenai insiden tersebut.

“Kita letakkan dua modul pam prestasi tinggi di lapangan, apabila ada keperluan, kita melaksanakan pengepaman air.

“Kita juga menumpukan kepada siasatan dari segi teknikal, lima penyiasat teknikal kita telah hantar ke Segamat untuk mendapatkan maklumat lanjut dan data log mengenai aktiviti saluran paip gas, tiga minggu sebelum kejadian.

“Kemudian baru kita boleh membuat analisa lanjut berhubung dapatan yang boleh merungkai kepada kejadian letupan yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here