MELAKA – Sebanyak 346 kes kemalangan direkodkan di negeri ini sepanjang pelaksanaan Op Selamat 24 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, angka itu mencatatkan penurunan 58 kes berbanding 404 kemalangan direkodkan pada Op Selamat 22, tahun lalu.
“Daripada jumlah kes tahun ini, sebanyak tiga kejadian melibatkan kematian manakala lima kes menyebabkan kecederaan parah.
“Manakala bagi jumlah saman yang dikeluarkan pula, tahun ini meningkat 12 peratus kepada 2,784 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas berbanding 2,478 saman pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain Dzulkhairi berkata, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka (JPJKK) merekodkan sejumlah 428 pemakluman laporan balik kampung daripada orang ramai.
“Pemakluman tersebut dibuat melalui pengisian borang di balai polis, aplikasi Voulenteer Smartphone Patrol (VSP) dan talian MERS 999.
“Sehubungan itu, unit kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan rondaan patrol balai telah melakukan 1,663 rondaan terhadap premis-premis yang dimaklumkan akan ditinggalkan,” tambahnya.
Jelas beliau, susulan komitmen Polis Melaka dalam menjalankan rondaan cegah jenayah menyumbang kepada tiada kes pecah rumah dilaporkan di semua premis yang ditinggalkan. – MalaysiaGazette