Perintah reman selama empat hari terhadap suspek lelaki berusia 40 tahun yang disyaki menculik gadis kurang upaya (OKU) berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, Melaka semalam dan mambawanya sejauh 510 kilometer sehingga ke Kedah dikeluarkan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaaan.

MELAKA – Pemandu kereta Perodua Kelisa yang disyaki menculik gadis kurang upaya (OKU) berhampiran rumahnya di Bukit Rambai, di sini, semalam dan mambawanya sejauh 510 kilometer sehingga ke Kedah direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap peniaga berusia 40 tahun itu sehingga 10 April ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaaan.

Terdahulu suspek yang memakai jaket hitam dan berkain pelekat biru tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 3.30 petang sambil diiringi polis.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan polis berjaya menahan suspek di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 4 pagi tadi susulan laporan polis dibuat ibu mangsa mengenai kehilangan anaknya itu yang disedari petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, suspek mengaku tidak mengenali mangsa tetapi membawanya menaiki kereta Perodua Kelisa untuk bersiar-siar di Seremban, Ipoh, Bukit Mertajam sehingga ke kampungnya di Baling, Kedah.

Pemeriksaan fizikal luaran di tubuh mangsa juga mendapati tiada kesan kecederaan namun keluarganya sudah membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Polis Melaka sedang memburu pemandu Perodua Kelisa berwarna perak selepas dipercayai terlibat dalam kes kehilangan gadis OKU berkenaan dari taman permainan di rumahnya di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai.

Kehilangan mangsa, Nurin Wardina Hairi, 18, yang merupakan OKU pembelajaran disedari ibunya, Hamnahwati Mohamad, 48, pada pukul 5.30 petang apabila mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain di taman permainan.

Sebelum kejadian, ibu mangsa ada terlihat sebuah kereta Perodua Kelisa berkenaan yang diletakkan berhampiran rumahnya dalam keadaan mencurigakan.

Selepas gagal mencari mangsa di taman permainan, seorang penduduk taman mendakwa terlihat gadis OKU itu masuk ke dalam kereta Perodua Kelisa terbabit sebelum ibunya membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here