Tertuduh, Law Tuan Hai, 62, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

MELAKA – Seorang penyelia tapak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya urusan penjualan sebidang tanah bernilai RM2 juta dua tahun lalu.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 62, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu telah memperdayakan Chong Kah Khen, 54, bahawa dia adalah pemilik berdaftar sebidang tanah.

Perbuatan itu adalah untuk urusan pembelian tanah berkenaan oleh Leong Chong Kuam, 38, Leong Chong Seng, 46, dan Wong Kim Lan, 78, sehingga mendorong mereka membuat bayaran berjumlah RM2 juta ke akaun sebuah bank didaftarkan atas nama tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Tetuan Ching Kah Khen & Harris di Taman Malim Jaya, dalam daerah Melaka Tengah di sini pada Oktober 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan dalam lingkungan RM100,000 terhadap tertuduh kerana jumlah kerugian ditanggung mangsa melibatkan jutaan ringgit.

Bagaimanapun peguam tertuduh Low Huey Theng memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah memandangkan tertuduh bekerja sebagai penyelia tapak dengan pendapatan RM5,000 sebulan.

Selain itu, anak guamnya mengidap sakit buah pinggang kronik dan perlu mengumpul duit untuk mendapatkan rawatan doktor pakar di Singapura, menjaga ibu berusia 93 tahun, seorang isteri serta dua anak.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rohatul membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dikehendaki hadir setiap kali sebutan dan perbicaraan kes.

Kes akan disebut semula 22 Mei ini bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here