GEORGE TOWN – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang buruh binaan warga Bangladesh maut susulan motosikal yang ditungganginya terbabas akibat terkena bongkah batu di Jalan Paya Terubong arah ke Farlim pada Jumaat lalu.
Pada kejadian pukul 12.45 tengah malam, batu seberat 50 kilogram (kg) itu disyaki terjatuh dari lereng bukit dan mengenai kepala mangsa ketika dia melalui laluan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati ketika mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR itu dalam perjalanan dari Bayan Lepas menghala ke Farlim.
“Sebaik tiba di Jalan Paya Terubong berhampiran tiang Tenagga Nasional Berhad (TNB), tiba-tiba objek batu bersaiz 0.5 meter itu terjatuh dari lereng bukit sebelum mengenai kepala mangsa.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan manakala motosikalnya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Tambah Swee Sake, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan siasatan segera berhubung insiden terbabit.
“Saya minta MBPP dan JKR siasat punca batu itu terjatuh serta tahap keselamatan cerun berkenaan. Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan diminta supaya berhati-hati,” katanya. – MalaysiaGazette