Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah perlu menyelesaikan segera perpercahan dalaman ketika pilihan raya negeri (PRN) itu akan berlangsung hanya dalam beberapa bulan sahaja lagi.

Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, pergeseran antara pemimpin utama parti itu yang kini semakin terbuka dan terserlah tidak akan memberi keuntungan kepada parti tersebut.

Beliau yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pemimpin UMNO Sabah pastinya menyedari politik di negeri itu masih kuat berpegang atau berasaskan kepada sistem tribal feudalism.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling.

Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, sistem itu bermaksud ketua parti politik di Sabah sangat berpengaruh dan sebarang keputusan yang dibuatnya akan ditaati dan diikuti oleh penyokong setianya.

“Sebab itu jika berlaku perselisihan dalam kalangan pemimpin politik di Sabah, ia akan menyebabkan perpecahan yang besar kepada parti tersebut kerana turut mengheret ahli-ahli atau penyokong bersama-sama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menjelang PRN-17 Sabah yang dijangka berlangsung hujung tahun ini, UMNO Sabah bagaimanapun dilihat masih bergelut untuk menyelesaikan pergeseran dalaman yang berlarutan sejak sekian lama.

Perpecahan itu semakin terserlah selepas ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin saling berbalas kenyataan dengan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Terbaharu, Abdul Rahman dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan penentuan kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO Bahagian Tuaran adalah keputusan bahagian itu serta Presiden UMNO Pusat.

Kenyataan itu dipercayai bagi menjawab kenyataan Bung Moktar yang mencadangkan Abdul Rahman bertanding salah satu DUN di Tuaran termasuk Sulaman memandangkan Abdul Rahman merupakan Ketua UMNO Tuaran serta berasal dari Sulaman.

Sementara itu, Faisol berkata, UMNO Sabah juga perlu berhati-hati dalam menangani krisis dalaman parti kerana boleh menghakis keyakinan rakyat.

Jelasnya, situasi itu akan menghalang usaha UMNO untuk kembali menjadi parti dominan di Sabah dan menebus semula maruah ekoran kekalahan besar pada pilihan raya umum lalu.

Dalam masa sama, ujarnya, kekuatan dalaman UMNO Sabah perlu diperkukuhkan memandangkan ia menjadi syarat utama kepada kerjasama dengan parti-parti politik lain khususnya dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN-17 kelak.

“Malah, UMNO Sabah juga mungkin tidak berpeluang menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN-17 kelak disebabkan pergeseran dalaman berterusan yang boleh memberi kesan kepada kestabilan kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here