Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa bersama ibunya pada sidang media mengenai berlepas ke Nepal membawa misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest "Mencari Hati Emas" di KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 APRIL 2025

SEPANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan keyakinan tinggi kepada pegawainya, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dalam menjayakan misi pendakian ke Gunung Everest, Mei ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, lebih mengharukan apabila Mohd Fakhrul Munir sanggup membawa imej JBPM di puncak tertinggi di dunia dengan mengambil cuti tanpa gaji.

“Ini merupakan pengorbanan besar apabila beliau secara sukarela untuk mengambil cuti tanpa gaji bagi membolehkan persiapan rapi dibuat sebelum kita sampai ke peringkat akhir ini.

“Apabila dia ambil cuti tanpa gaji, kita tahu pendapatan dia hilang, tetapi pengorbanan itu dibuat untuk mencapai impian yang lebih besar untuk bawa nama dan imej JBPM,” katanya kepada pemberita di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1), di sini, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa (lima kiri) mengiringi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad (tengah) bergambar selepas sidang media mengenai berlepas ke Nepal membawa misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” di KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 APRIL 2025

Terdahulu, Nor Hisham merasmikan Majlis Pelepasan Pendakian Bomba De Everest, Program kesedaran Hati Emas dan Sinar Harapan 2025.

Mohd Fakhrul Munir kini berkhidmat sebagai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I dan anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM.

Mohd Fakhrul Munir kini dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum setelah menjalani sesi latihan intensif selama tiga tahun di luar negara termasuk pendakian di Gunung Kinabalu.

Pada Februari lepas, beliau berjaya menawan Gunung Kilimanjaro di Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut.

Dalam pada itu, Nor Hisham memberitahu, JPBM juga menyediakan dua malim gunung atau sherpa yang akan menemani Mohd Fakhrul dalam pendakian Gunung Everest.

“Kita aturkan dua sherpa yang akan ikut untuk memastikan perancangan dan pendakian beliau berada pada kedudukan lebih baik untuk memastikan beliau sampai ke puncak Everest.

“Selain itu pasukan perubatan di based camp ini memang disusun termasuk pakej kita ambil kontrak,” katanya.

Ketika ditanya tentang keupayaan Mohd Fakhrul Munir selepas menghidapi Penyakit Gunung Akut (AMS) semasa latihan pendakiannya di Gunung Kalapathar, Nepal sebalum ini, Nor Hisham yakin anak buahnya itu sudah bersedia dengan cabaran itu.

“Sebelum kita buat keputusan besar ini, kita telah memanggil dua tiga pakar gunung untuk kita mendapat pandangan berhubung dengan keupayaan beliau untuk mendaki.

“Berdasarkan kepada pandangan yang diberikan kepada saya, mereka yakin bahawa keupayaan fizikal dan mental boleh mengatasi isu AMS.

“Ketika beliau terkena AMS di Kalapathar itu, dia lebih bersifat kepada kurang pengetahuan dan keterujaan untuk mendaki dengan cepat, sekarang ini bila banyak pendedahan, dia tahu nak kawal keterujaan dan kelajuan mendaki.

“Saya percaya kalau tingkap Everest terbuka nanti, cuaca cantik, proses asimilasi sebelum sampai tingkat Everest pada Mei ini, Insya-Allah keyakinan kita besar untuk beliau sampai ke atas (puncak),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here