Mohammed Azman Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR – Seramai 24 daripada 46 mangsa tragedi letupan saluran paip gas, di Putra Heights layak memohon bantuan peralatan pemulihan bagi penyaluran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, saringan terhadap kumpulan pertama mangsa tragedi hari kedua Syawal itu dibuat dalam kalangan mereka yang dimasukkan ke hospital dan klinik swasta di sekitar Lembah Klang.

Katanya, semakan lanjut akan diteruskan meliputi 88 mangsa yang dikenal pasti sedang menerima rawatan di hospital kerajaan di Kuala Lumpur, Serdang, Selayang, Shah Alam dan Klang.

“Difahamkan bahawa terdapat 134 mangsa terbabit dalam tragedi di Putra Heights. Justeru, PERKESO sudah membuat semakan awal merangkumi 46 orang, manakala selebihnya kita sedang menunggu maklumat rasmi dari hospital kerajaan.

“Daripada semakan awal, 24 mangsa layak memohon peralatan pemulihan seperti yang termaktub menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Sekiranya mereka memerlukan peralatan berkenaan, mereka boleh terus memohon dan PERKESO sedia membantu mendapatkan sokongan dan rawatan pemulihan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman berkata, PERKESO sedia membantu proses tuntutan semua pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang terbencana semasa menjalankan pekerjaan dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang tercedera dalam insiden berkenaan.

Jelasnya, PERKESO cakna terhadap nasib menimpa mangsa tragedi dengan Skuad PERKESO Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur sentiasa berada di lokasi pada hari kejadian dan melawat mangsa di hospital untuk mendapatkan perkembangan terkini.

“Kita juga bersedia membantu semua mangsa menerusi Program Sinergi Sosial dengan menyalurkan maklumat kepada agensi lain supaya mereka mendapat bantuan bersesuaian.

“PERKESO bersimpati dengan nasib dialami mangsa tragedi dan didoakan agar mereka terus tabah menghadapi dugaan berat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here