SUBANG JAYA – Selepas seminggu insiden kebakaran paip gas di Putra Heights di sini perasaan trauma masih menyelubungi mangsa apatah lagi harta benda termasuk rumah kediaman dan kereta mengalami kerosakan teruk hingga tidak boleh digunakan.
Sudah tentu mangsa yang terlibat memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak untuk memastikan urusan seharian termasuk pergi ke tempat kerja dan sesi persekolahan anak-anak dapat diteruskan seperti biasa.
Kereta pinjaman antara bantuan yang dinanti-nantikan mangsa kerana kebanyakan kenderaan penduduk terlibat mengalami kerosakan sepenuhnya dan separa hingga tidak boleh digunakan dan perlu pembaikan dengan yang kos tinggi.
Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor itu dengan kerjasama beberapa syarikat automotif tempatan sedikit banyak dapat meringankan beban mangsa yang masih terkesan emosinya dan trauma berpanjangan.
Bagi seorang mangsa, Soorayamalar, 42, bantuan kereta pinjaman daripada Kumpulan Tan Chong Motor Berhad itu diakui dinanti-nantikan apatah lagi kedua-dua kenderaannya kini masih berada di dalam bengkel.
“Saya gembira kerana selepas seminggu emosi kami terkesan dan kami bergelut dengan kerosakan rumah dan kereta. Kereta saya rosak akibat haba, nombor plat dan cermin sisi cair akibat haba melampau, walaupun bukan kerosakan sepenuhnya tapi saya fikir mesti ada kesan sampingan.
“Saya fikir inisiatif ini sangat membantu kepada kami semua buat sementara waktu sehingga selesai (baik pulih) serta kemudahan yang disediakan.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YB dan Tan Chong yang betul-betul membantu kami dan beri jalan keluar untuk mendapatkan kereta sementara,” katanya kepada pemberita di pekarangan Stesen LRT Putra Heights di sini hari ini.
Terdahulu Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor, Ng Sze Han hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan 30 Kereta Sementara daripada Tan Chong kepada mangsa-mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.

Sementara itu, bagi seorang lagi mangsa, S. Vinayagam, 55, bantuan kereta itu memudahkan dia dan keluarga meneruskan kehidupan seharian dengan lebih lancar.
“Saya sangat gembira, syarikat Tan Chong datang membantu mangsa-mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights dalam keadaan serba trauma dan memang kita perlukan bantuan untuk sementara ini.
“Kereta saya pun rosak dan saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Tan Chong untuk datang bantu.
“Kereta kita pakai untuk pergi kerja, nak ambil anak, dalam sebulan ini kita dapat kereta ini memang bantu kita punya urusan seharian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette