BEIJING – China menyuarakan bantahan keras susulan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengugut mengenakan tarif tambahan sebanyak 50 peratus ke atas barang diimport dari China.
Jurucakap Kementerian Perdagangan (MOFCOM) berkata China akan mengambil tindakan balas tegas untuk mempertahankan kepentingan sendiri jika tarif berkenaan dikuatkuasakan.
Menyentuh tarif timbal balik AS, jurucakap itu berkata, pelaksanaannya tidak berasas sama sekali dan merupakan amalan buli sepihak yang tipikal.
Justeru langkah balas yang diambil China adalah wajar demi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara serta orde perdagangan antarabangsa.
Jurucakap itu mengulangi bahawa tiada pemenang dalam perang perdagangan dan amalan perlindungan pasti menemui jalan buntu.
AS digesa supaya membetulkan perbuatan yang salah serta-merta, membatalkan semua tindakan tarif sepihak menyasar China dan menyelesaikan perselisihan dengan China menerusi dialog berdasarkan prinsip sama rata dan saling hormat. – Bernama-CMG