Seorang wanita disamun dalam kejadian di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra, Kulai, Jumaat lalu.

KULAI – Seorang lelaki yang mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah diberkas pihak polis dalam tempoh kurang dua jam selepas melakukan dua samun dengan bersenjatakan parang di daerah ini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian pertama melibatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun disamun dan ditetak di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra, di sini.

“Dalam kejadian pada pukul 8.26 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di lengan kiri akibat ditetak menggunakan senjata disyaki parang dan dirawat di hospital.

“Pada hari sama, polis turut menerima satu lagi laporan membabitkan seorang wanita tempatan berumur 36 tahun yang menjadi mangsa samun bersenjata di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian itu berlaku sekitar pukul 8.45 pagi apabila suspek menaiki motosikal Yamaha 135LC menghampiri mangsa.

Suspek katanya, kemudian melakukan samun sebelum melarikan wang tunai, kad pengenalan dan telefon bimbit namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah beliau, hasil tindakan pantas dan maklumat diterima, polis berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai-Gelang Patah pada pukul 10.05 pagi pada hari sama.

Beliau memberitahu, suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing pula positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai barangan mencurigakan termasuk motosikal Yamaha Y15ZR, telefon bimbit, beg tangan, dokumen pengenalan diri termasuk MyKid dan pasport Indonesia, barang kemas, wang tunai serta kotak peralatan bertukang,” ujarnya.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

“Permohonan reman telah diluluskan selama tujuh hari bermula 5 April hingga 11 April bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here