IPOH – Lafaz ikrar Rukun Negara julung kali akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bermula tahun ini.
Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choy Tsi Ken berkata, lafaz ikrar itu akan diketuai Setiausaha Dewan baharu, Mohd Ikram Ahmad yang akan mula bertugas berkuat kuasa 10 April ini.
“Untuk makluman semua, bermula tahun ini, lafaz ikrar Rukun Negara akan dilafaz pada Persidangan Pertama bagi setiap mesyuarat.
“Walau bagaimanapun, bagi Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga DUN Perak ke-15 lafaz ikrar ini akan dibuat pada Persidangan Kedua iaitu pada 16 April 2025 (Rabu) sebaik sahaja selepas bacaan doa dan akan diketuai oleh Setiausaha Dewan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga DUN Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Jenny Choy memaklumkan bahawa persidangan tersebut akan berlangsung selama enam hari bermula dari 15 April hingga 22 April.
“Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim
telah berkenan untuk mencemar duli, berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi dan akan menzahirkan Titah Diraja bersempena persidangan tersebut,“ ujarnya.
Katanya, sesi perbahasan Ucapan Menjunjung Kasih Titah Diraja yang dibawa oleh Menteri Besar akan bermula pada 16 April dan melibatkan 45 Ahli Dewan termasuk pihak kerajaan dan pembangkang.
“Sepanjang persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung. Tempoh sesi soalan lisan akan berlangsung selama satu jam manakala penggulungan perbahasan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dijadualkan pada 21 dan 22 April.
“Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan menggulung pada hari terakhir persidangan.
“Rakyat Perak boleh mengikuti siaran langsung persidangan menerusi saluran YouTube rasmi DUN Perak, portal rasmi kerajaan negeri Perak dan laman facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sepanjang persidangan tersebut berlangsung,“ jelasnya. – MalaysiaGazette