Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

SUBANG JAYA – Sebanyak 270 dari 437 rumah terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights disahkan selamat diduduki pemilik serta penghuninya setakat ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pertambahan 119 rumah yang diisyitiharkan selamat diduduki berbanding 151 premis yang diumumkan semalam hasil pemeriksaan yang dilakukan beberapa agensi teknikal hari ini.

“Semalam dimaklum dan diumumkan sebanyak 151 rumah boleh diduduki, pada hari ini jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 270 rumah dari 437 rumah yang diperiksa oleh pihak bomba, JKR dan juga TNB.

“Pihak bomba pun telah selesai membuat penilaian dari 437 rumah hari ini, sebanyak 270 rumah boleh diduduki dengan perlu buat pembaikan kecil,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan sebanyak 151 rumah dan semua pemilik dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing yang terlibat dalam insiden paip gas terbakar, setakat jam 11 pagi.

Selain itu, kata Hussein, sebanyak 88 dari 571 kenderaan yang dinilai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengalami kerosakan melebihi 50 peratus.

“Manakala 332 kenderaan, kerosakan ataupun terjejas adalah bawah 50 peratus serta 151 kenderaan lain pula adalah tidak terjejas.

“Ini adalah kedudukan keadaan kenderaan yang terjejas dalam radius 320 meter yang telah diperiksa oleh pihak bomba,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here