KENYATAAN media GBSS berhubung kesediaan Malaysia membantu kerajaan baharu Syria.

KUALA LUMPUR – Gabungan Bina Semula Syria (GBSS) menyifatkan kesediaan Malaysia memperkukuhkan hubungan dua hala dengan kerajaan baharu Syria sebagai isyarat penting yang membuka semula ruang kerjasama lebih menyeluruh antara kedua-dua negara.

GBSS dalam satu kenyataan berkata, kerjasama meluas itu merangkumi sektor terutamanya pelaburan, pendidikan, pertanian, teknologi dan tenaga.

Tambahnya, ia juga memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap peranan diplomatik dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam menyokong negara-negara yang sedang melalui proses pemulihan pascakonflik.

“Bagi GBSS, pendirian Malaysia ini selari dengan harapan besar kami sejak pembebasan sepenuhnya bumi Syria daripada cengkaman regim terdahulu, dan selepas penyatuan pelbagai fraksi termasuk SDF (Pasukan Demokratik Syria) dalam kerajaan yang baharu.

“Ia mencerminkan sokongan terhadap usaha rakyat Syria untuk membina semula negara mereka secara aman, inklusif dan berdaulat,” katanya kenyataan itu hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Ahmad al-Sharaa atas pembentukan kerajaan Syria yang baharu dan menegaskan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan serta meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Menerusi panggilan telefon kepada Ahmad al-Sharaa, Anwar turut menyampaikan ucapan tahniah kepada rakyat Syria, mendoakan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran yang berterusan di negara itu.

Tambahnya, GBSS melihat langkah itu sebagai suatu perkembangan positif yang boleh membuka laluan kepada penglibatan lebih aktif sektor swasta, masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam agenda pembangunan semula Syria secara menyeluruh dan mampan.

Dalam masa sama, katanya, GBSS turut menyokong kenyataan Anwar yang menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam proses pemulihan Syria serta kerjasama antara rakyat melalui pendekatan kemanusiaan dan pembangunan bersama.

Jelasnya, GBSS juga bersedia untuk terus menjadi penghubung dan penggerak kepada bantuan serta usaha ke arah pembinaan semula Syria.

“Melalui pelaksanaan inisiatif merentas enam kluster utama iaitu pendidikan, ekonomi, kesihatan, penempatan, kebajikan dan advokasi, GBSS akan terus menyokong dan melengkapi usaha rakyat Syria dalam memulihkan semula negara mereka,” katanya.

GBSS merupakan gabungan lebih 20 NGO kemanusiaan di Malaysia antaranya Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim; Global Peace Mission (GPM) Malaysia; Global Ehsan Relief Malaysia dan banyak lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here