SUBANG JAYA – Laporan awal siasatan teknikal punca kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights, di sini, dijangka diperoleh lebih awal berbanding pengumuman Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sehingga dua minggu, sebelum ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses itu dijangka dipercepatkan setelah pihaknya memperkenalkan dua langkah baharu termasuk penambahan jentera pengorekan dan tempoh operasi dilakukan selama 24 jam.
“Kita dalam proses menstabilkan tanah di situ untuk dedahkan paip-paip (gas) yang terlibat dalam letupan dan juga kebakaran. Jadi untuk cepatkan proses ini, mulai semalam kita telah ambil dua tindakan baharu.
“Kita tambah jentera yang terlibat dalam kerja-kerja pengorekan dan kerja-kerja pengoperasian di tempat kejadian berjalan 24 jam dari semalam.
“PDRM, DOSH, Bomba, JKR, JNG dan JPS akan berada di situ 24 jam untuk memantau, menganalisa serta menyiasat setiap peringkat terlibat dalam kerja-kerja mengorek kawasan itu sehingga terdedah paip-paip terlibat,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Hussein memberitahu, laporan awal siasatan teknikal punca kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Dalam pada itu, Hussein berkata, ketika pihaknya sedang melakukan kerja-kerja menstabilkan tanah di tapak kejadian dan sudah mencapai kemajuan 30 peratus.
“Kerja-kerja tanam sheet pile belum bermula lagi, mungkin petang ini akan bermula. Sekarang ini kita baru greding tanah dan juga persediaan tanam cerucuk untuk jentera masuk untuk proses sheet pile.
“Mungkin esok kita boleh selesai sheet piling itu dan kita akan teruskan kerja-kerja korek tanah.
“Saya nak tetapkan berapa hari itu agak sukar sikit memandangkan keadaan kawasan yang dikorek agak lembap sebab tanah liat, dia punya proses itu bergantung kepada hari ke hari dengan keadaan cuaca dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Hussein memaklumkan susulan kejadian tersebut, sebanyak 675 laporan polis diterima pihaknya setakat ini.
“Manakala rakaman percakapan daripada saksi adalah sebanyak 186 percakapan,” katanya. – MalaysiaGazette
Jentolak dan jengkaut sebesar2 bas macamana boleh hilang dari radar? Mungkin dah lari keluar negara macam anak cina Jolo?