PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Kerajaan Negeri Perlis untuk mengembalikan status agama Islam membabitkan tiga anak Loh Siew Hong.
Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, menyampaikan keputusan sebulat suara itu bersama-sama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
“Kami mendapati tiada merit dalam permohonan ini dan pemohon tidak memenuhi syarat ambang yang ditetapkan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995. Tiada ketidakadilan berlaku. Oleh itu, permohonan ini ditolak tanpa perintah kos,” kata Hakim Hasnah.
Peguam A. Srimurugan mewakili Loh manakala peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili kerajaan Perlis.
Kerajaan Negeri Perlis memfailkan permohonan semakan itu kepada Mahkamah Persekutuan pada 30 Oktober tahun lepas untuk mengetepikan keputusan terdahulu yang menafikan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lagi.
Kerajaan negeri mendakwa keputusan itu telah menjejaskan hak mereka untuk didengar dan memohon pendengaran semula bagi kebenaran merayu.
Loh pula memfailkan afidavit bagi membantah permohonan itu.
Pada 10 Januari 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama anak-anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu. Keputusan itu telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023 yang sebelum ini menolak semakan kehakiman Loh untuk membatalkan penukaran agama anaknya.
Tiga kanak-kanak itu yang sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan semula kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya. – Bernama