KUALA LUMPUR – Rakyat Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat sivil dunia diseru supaya menolak ideologi kejam Presiden Donald Trump susulan cadangannya untuk ‘mengambil alih’ Gaza dan memindahkan rakyat Palestin ke negara-negara lain.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, cadangan Trump itu benar-benar gila dan tidak berperikemanusiaan serta menghina hak asasi manusia.
Malah ia merupakan satu rancangan yang secara terang-terangan mahu membersihkan etnik serta melakukan pelanggaran mutlak terhadap undang-undang antarabangsa.
“Kenyataan Trump adalah rasis, tidak berperikemanusiaan dan berunsur jenayah terhadap kemanusiaan. Ia mencerminkan ideologi kolonial moden yang mewajarkan penjajahan dan pengusiran kejam ke atas rakyat asal tanah tersebut.
“Gaza bukan tanah kosong. Ia adalah tanah air lebih dua juta rakyat Palestin yang hidup dalam penindasan dan sekatan kejam selama lebih 17 tahun. Mereka berhak mempertahankan tanah, maruah dan masa depan mereka.
“Cadangan ‘zon kebebasan’ yang disebut Trump adalah topeng kepada projek penjajahan baharu. Mengusir rakyat Palestin dari Gaza bukan sahaja satu bentuk pemusnahan identiti, tetapi juga satu jenayah genosid terancang.
“Trump tidak mempunyai mandat atau hak moral untuk mencadangkan penempatan tentera AS di wilayah Palestin. Ini mencabul kedaulatan rakyat Palestin dan memperkukuh hegemoni imperialis Amerika di Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk cadangan Trump itu secara rasmi sebagai satu bentuk ancaman kepada keamanan dan kestabilan global.
Katanya, semua pemimpin dunia Islam harus bersatu dan bertindak, bukan sekadar mengecam tetapi mendesak tindakan tegas di peringkat antarabangsa.
“MAPIM tidak akan berdiam diri. Kami akan terus menggerakkan kempen solidariti antarabangsa, menuntut keadilan dan mempertahankan hak rakyat Palestin yang sah,” tambahnya. – MalaysiaGazette