BATU PAHAT – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, hari ini kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang wanita serta mencederakan dua anaknya yang pulang beraya, Rabu lalu.
Tertuduh, Muhammad Nur Syam Abdul Razak yang berusia 24 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memandu bawah pengaruh dadah dan tidak berdaya mengawal kenderaan hingga menyebabkan kematian penumpang kereta, Halimatul Sa’adiah Mohamed, 59.
Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 119.5, Jalan Johor Bahru-Melaka, di Tanjung Laboh di sini pada pukul 2 pagi, 3 April lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) (Pindaan 2020) yang memperuntukkan penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan supaya butiran sabitan diendors pada lesen memandu serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Siasatan polis mendapati kereta dipandu tertuduh dalam perjalanan ke Pontian dari Batu Pahat terbabas lalu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dinaiki mangsa serta dua anaknya.
Kemalangan berlaku ketika mangsa tiga beranak dalam perjalanan pulang ke Jasin, Melaka selepas mereka berkumpul di rumah kakaknya di Rengit pada hari ketiga Hari Raya Aidilfitri.
Halimatul Sa’adiah maut di tempat kejadian manakala dua anak masing-masing lelaki yang juga pemandu kereta berusia 26 tahun serta anak perempuan berusia 29 tahun parah dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Ujian saringan air kencing terhadap tertuduh sebaik ditahan selepas kemalangan mendapati dia positif dadah jenis methampethamine.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk laporan patologi dan lantikan peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun gagal membayarnya.- MalaysiaGazette