KEPALA BATAS – Seorang petugas kesihatan berputih mata apabila wang lebih RM1.25 juta miliknya lesap akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa berusia 58 tahun dikatakan mula terpedaya selepas melihat iklan pelaburan saham QC Secure semasa melayari aplikasi berkenaan pada 20 Disember lalu.
Katanya, mangsa berminat menyertai pakej pelaburan yang ditawarkan itu dan memasukan wang berjumlah RM1,256,096 menerusi beberapa transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza.
“Mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 500 hingga 800 peratus daripada wang modal yang dilaburkan.
“Bagaimanapun, selepas menyedari dirinya diperdaya mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU pada Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette