BUTTERWORTH – Polis menahan pemandu van sekolah yang memandu secara melawan arus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini, hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 12.55 tengah hari tadi dan kereta peronda polis yang melalui jalan tersebut berjaya menahan lelaki berusia 70 tahun itu kerana memandu secara berbahaya.
Difahamkan, tiada penumpang serta pelajar sekolah dalam van berkenaan ketika kejadian dan suspek dikatakan tersilap memasuki laluan tersebut akibat pening.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang memaparkan sebuah van sekolah memandu secara lawan arus di BORR.
Bagaimanapun, tindakan pemandu berkenaan berjaya dihalang selepas kereta peronda polis yang melalui kawasan tersebut bertindak mengawal lalu lintas sebelum menahan pemandu tersebut. – MalaysiaGazette