Kon Yeow (tengah) mengadakan pertemuan dengan penduduk pada 14 Januari lalu di Komtar. Gambar ihsan - Pejabat CKY

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek Pan Island Link 2A (Fasa 1) di Permatang Damar Laut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan 13 pemilik berkepentingan yang membantah jumlah pampasan yang diberikan termasuk pampasan utama dan bayaran ex-gratia yang didakwa tidak setimpal dengan nilai sebenar tanah dan bangunan mereka.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri, majoriti pemilik tanah terlibat telah menerima pampasan melebihi RM1.5 juta setiap seorang.

Jelasnya, tiga individu yang tidak memiliki geran turut menerima bayaran ex-gratia sebanyak RM43,500 seorang meskipun bangunan mereka didirikan di atas tanah kerajaan.

“Secara keseluruhan, bayaran pampasan dan ex-gratia yang telah disalurkan oleh Pentadbir Tanah Daerah sejak Disember lalu berjumlah lebih RM24 juta.

“Nilai pampasan ini adalah berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH),” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Tambah kenyataan itu, pada 14 Januari lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut mengadakan sesi perjumpaan dan soal jawab bersama penduduk terlibat dan membenarkan mereka menduduki kawasan terbabit sehingga 28 Februari lalu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengingatkan semua pihak berkepentingan perlu mengosongkan premis masing-masing selewat-lewatnya pada 15 April ini bagi melancarkan pelaksanaan projek infrastruktur tersebut.

“Tarikh ini merupakan lanjutan kali kedua selepas tempoh pertama berakhir hujung Februari lalu.

“Dalam masa yang sama, pihak Pentadbir Tanah Daerah telah menerima 30 bantahan melalui Borang N yang melibatkan 11 lot tanah. Mengikut prosedur, pentadbir tanah mempunyai tempoh enam bulan untuk menyediakan Borang O sebelum proses perbicaraan di mahkamah dijalankan.

“Kerajaan negeri  juga memberi jaminan akan terus membantu pihak berkepentingan yang terlibat dalam proses ini bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham serta memastikan kepentingan semua pihak terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here