KUALA LUMPUR – Sepatutnya tidak ada reciprocal tarif dikenakan kepada Malaysia, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan itu menganggap Amerika Syarikat (AS) salah kira tentang nilai tarif barangan negara mereka ke negara ini.
“Negara maju dan hebat seperti AS boleh salah kira dan salah maklumat tentang nilai tarif import barangan AS ke Malaysia,” katannya dalam kenyataan ringkas di media sosialnya.
Reciprocal tariff merujuk kepada tindakan sesebuah negara mengenakan cukai import yang sama atau hampir sama dengan kadar tarif yang dikenakan oleh negara lain terhadap barangan mereka.
Menurut Ahmad, Presiden AS mendakwa Malaysia mengenakann 47% tarif atau cukai kepada barang mereka yang Malaysia import sedangkan angka tarif sebenar secara purata cuma 5.6%.
“Tersasar jauh data Trump itu! Dengan tuduhan 47%, maka Trump kenakan tarif timbal balik sebanyak 24% terhadap barangan eksport Malaysia ke AS.
“Jika kiraan tepat 5.6% digunakan, maka sepatutnya tiada reciprocal tariff patut dikenakan terhadap negara kita,” katanya.
Menurut beliau, kesilapan itu mesti dibetulkan segera dengan kaedah rundingan agar negara dan rakyat kita tidak terbeban dan dizalimi oleh penguasa dunia seperti AS. – MalaysiaGazette