Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Pengenalan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia berkemungkinan tidak akan menjejaskan eksport Malaysia ke negara itu secara ketara berikutan terdapat beberapa pengecualian khususnya bagi sektor semikonduktor.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, eksport utama Malaysia ke AS iaitu elektrik dan elektronik (E&E) juga sebahagian besarnya adalah bersifat ‘canggih’.

Tambahnya, daya saing produk Malaysia juga lebih bersandarkan kualiti bukan harga yang murah sekali gus mewujudkan daya tahan ke atas permintaan eksport Malaysia.

“Daya saing negara akan lebih berdaya tahan sekiranya kita berjaya meningkatkan kecanggihan (complexity) ekonomi negara. Malaysia tidak lagi boleh bersaing dengan tawaran ‘harga murah’,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Namun, tambah Noor Azlan, apa yang menjadi kebimbangan adalah implikasi tarif timbal balas itu ke atas prestasi ekonomi dunia.

Jelas beliau, pada tahun 2023, sekitar 40 peratus daripada eksport negara menuju ke masing-masing China (18.3 peratus); Singapura (12.2 peratus) dan AS (9.6 peratus) dengan data terkini eksport ke AS adalah sekitar 11.3 peratus.

Ujarnya, sekitar 60 hingga 70 peratus eksport menuju ke 10 negara teratas destinasi eksport utama Malaysia dengan sebahagian besarnya iaitu 63.7 peratus menuju ke rantau Asia.

“Dalam konteks destinasi, eksport kita tidak tersebar. Sekiranya 10 negara ini terjejas ekonomi mereka akibat pengenalan tarif timbal balas AS, eksport dan ekonomi Malaysia akan turut terjejas.

“Reaksi ‘membalas’ dengan menaikkan tarif ke atas import AS di kalangan negara-negara ekonomi besar dunia akan mengundang ‘perang dagang’ yang berpotensi melarat, merencat prestasi ekonomi dunia.

“Jika ini berlaku, Malaysia pasti terkesan,” katanya.

Jelasnya, walaupun pengenalan tarif timbal balik oleh AS berkemungkinan tidak menyebabkan kesan besar eksport negara namun Malaysia masih berhadapan dengan risiko yang tinggi.

Apatah lagi, katanya, terdapat kemungkinan yang besar tindakan AS itu akan mengubah sistem perdagangan dan pola pelaburan global.

“Ini kesan jangka panjang yang memerlukan kita menyusun strategi baharu. Kita tidak boleh leka,” katanya.

Kepada persoalan sama ada ekonomi domestik boleh menjadi pelindung kepada Malaysia, Noor Azlan berkata, perbelanjaan domestik bersih hanya menyumbang sekitar 33 peratus kepada ekonomi Malaysia.

Ujar beliau, umumnya rakyat masih cenderung berbelanja ke atas barangan import dan dalam konteks ekonomi, import adalah bocoran.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, keupayaan sektor domestik khususnya perbelanjaan isi rumah dan pelaburan industri akan turut terkesan.

“Bolehkan kerajaan menyuntik pakej stimulus? Atau mampukah? Dengan status fiskal semasa, agak mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast