KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa membentuk semula Kementerian Keadilan bagi memastikan pelaksanaan undang-undang dan proses keadilan di negara ini dapat dijalankan dengan cepat.
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, ketika ini, banyak kes-kes jenayah tertangguh disebabkan kekurangan hakim, pendakwa raya dan bangunan mahkamah.
Disebabkan itu, dakwanya, terdapat kes jenayah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor yang dituduh antara tahun 2022 dan 2023 misalnya, hanya dapat dibicarakan dalam tempoh antara tiga hingga empat tahun akan datang.
Sehubungan itu, kata beliau, tertuduh dalam kes itu yang tidak diberikan jaminan terpaksa di tahan di lokap untuk tempoh yang panjang meskipun proses perbicaraan terhadap mereka belum pun bermula.
“Mana keadilan untuk mereka? Malaysia ini kononnya dipimpin oleh Perdana Menteri yang tahu tentang keadilan, jadi sepatutnya tahu berkenaan perkara-perkara yang tidak memuaskan seperti ini,” katanya menerusi video rakaman Podcast yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu turut memberikan contoh di Shah Alam, Selangor, yang mana hanya terdapat enam hakim yang dikhususkan untuk mengendalikan kes-kes jenayah.
Jumlah itu, katanya, tidak mencukupi meskipun ditambah sekali ganda kepada 12 orang hakim, membayangkan betapa keperluan tersebut sangat mendesak ketika ini.
Jelas beliau, perkara itu dapat diatasi sekiranya sebuah Kementerian Keadilan ditubuhkan dengan kuasa dan peruntukan sendiri yang boleh menjaga aspek penambahan Hakim atau Pendakwa Raya.
“Yang kita ada sekarang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), nak reform apa? Dia tidak ada kuasa apa-apa.
“Sebab itu kerajaan perlu ada Kementerian Keadilan sendiri supaya Hakim atau Pendakwa Raya atau kemudahan-kemudahan lain berkenaan perundangan negara dapat ditambah.
“Sekarang siapa yang jaga? Siapa kita nak salahkan sekarang?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian kepada kepincangan dalam sistem perundangan negara khususnya kelewatan pendakwaan terhadap pesalah kes jenayah yang disifatkan sebagai satu penganiayaan.
Dalam masa sama, beliau menggesa supaya Ahli-ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang membangkitkan perkara itu dalam perbahasan mereka di Dewan Rakyat.
“Ini benda mustahak, kita mahukan keadilan bukan sahaja ke atas orang atasan, tetapi rakyat biasa selalu masuk lokap dan tidak diberi jaminan.
“Kita kena pastikan mahkamah dan sistem perundangan itu lengkap supaya dapat melakukan proses keadilan yang cepat,” katanya.
Menurut Zaid, Malaysia pernah mempunyai Kementerian Keadilan kira-kira 40 tahun lalu, justeru bukan sesuatu yang pelik atau mustahil untuk ditubuhkan semula.
Berdasarkan laman web rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Malaysia pernah mempunyai Kementerian Keadilan yang dipimpin dua Menteri iaitu Tuan Bahaman Samsudin pada 1968 dan Datuk Ganie Gilong (1969-1970).
Antara 1957 hingga 1995 juga, aspek kehakiman dan perundangan negara diletakkan di bawah kementerian dengan nama-nama berbeza antaranya Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan; Kementerian Keadilan Kehakiman dan Kementerian Undang-Undang Kehakiman.
Kali terakhir Kementerian Undang-Undang ditubuhkan secara bersendirian adalah pada penggal pentadbiran 1991-1995 yang mana Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar merupakan Menterinya ketika itu.
Bagaimanapun bermula pada 1995, perkara berkaitan perundangan dan kehakiman negara diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang). – MalaysiaGazette