Oleh Ismail Hashim Yahaya
DI kala penduduk Gaza berada di ambang kemusnahan mengapa Hamas menolak gencatan senjata? Laporan media antarabangsa menyatakan Hamas menolak cadangan baharu gencatan senjata yang dikemukakan oleh Israel menurut dua pemimpin kumpulan itu. Pemimpin yang enggan dikenali berkata, Hamas memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang cadangan baharu yang dikemukakan Israel melalui perantara.
Ini kerana mereka mendakwa Israel sengaja menghalang cadangan dari Mesir dan Qatar serta cuba menggagalkan sebarang perjanjian. Bahkan daripada bacaan saya menerusi media sosial mendapati sumber termaklum yang rapat dengan Hamas menyatakan bahawa cadangan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, yang disampaikan kepada pemimpin politik kanan Hamas Khalil al-Hayya, yang kini berpangkalan di Doha, telah ditolak mentah-mentah.
Tawaran itu, yang menyeru supaya Hamas berundur dari Gaza dan keluarnya kepimpinannya dari Gaza telah ditolak dengan jawapan yang terus terang, “Biarlah mereka melakukan apa yang mereka mahu”. Sehari kemudian, pada 30 Mac, Perdana Menteri regim haram Benjamin Netanyahu secara terbuka berikrar untuk memperhebatkan perang ke atas Gaza dengan meningkatkan kepungan dan pengeboman.
Menjelang subuh, ketika rakyat Palestin bersiap sedia untuk sambutan Aidilfitri, perayaan menandakan berakhirnya Ramadan, Gaza dilanda serangan paling sengit daripada regim genosid. Gempa letupan membakar di seluruh Gaza, menggegarkan rumah dan menghantar gelombang kejutan sehingga ke bandar Beersheba dan Negev yang diduduki.
Syarat gencatan senhata yang dijanjikan AS dilaporkan termasuk laluan selamat untuk pejuang Hamas dan keluarga mereka, jaminan kewangan dan janji perlindungan daripada pembunuhan amatlah diragui. Sedangkan gencatan senjata yang dimeterai dilanggar regim pengganas sejauh manakah AS dan regim pengganas boleh dipercayai akan mematuhinya.
Apabila Hamas menolak tawaran itu, Washington memaklumkan Tel Aviv, membuatkan Netanyahu untuk menggandakan serangan dan ugutan dengan kata dua: sama ada Hamas melucutkan senjata atau dihalau ke dalam buangan secara kekal yang selaras dengan doktrin perpindahan penduduk Palestin dah pejuang Hamas yang dicadangkan Presiden AS Donald Trump. Jika diteliti Netanyahu nampaknya berazam untuk mendapatkan kedua-dua keputusan itu.
Walaupun media Israel mendakwa terdapat kemajuan dalam rundingan gencatan senjata sejak 27 Mac dan spekulasi gencatan senjata berkuatkuasa dengan sambutan Aidilfitri, ia sekadar mimpi di siang hari ia diperlihatkan dengan genosid yang dilakukan oleh tentera regim pengganas. Tiada gencatan senjata sama ada pada jangka pendek atau panjang.
Walau bagaimanapun, disebabkan tekanan Mesir yang berterusan, perjanjian gencatan masih diusahakan, walaupun agak tipis. Usaha negara Arab untuk menamatkan genosid di Gaza – tidak dipastikan sejauhkan keikhlasan negara-negara penyokong Israel ini, mungkin untuk memudahkan proses normalisasi mereka dengan negara sang penakluk ini.
Netanyahu, bagaimanapun, terus mensabotaj setiap inisiatif tersebut. Apa yang disebaliknya ialah memenuhi matlamatnya kepentingan politiknya: mengekalkan kuasa. Perang akan diteruskan itulah talian hayat siAlgojo Netanyahu bagi terus mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.
Cadangan terbaharu Mesir termasuk pembebasan lima tawanan Israel yang masih hidup sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin dan berhenti serangan selama 40 hari. Saranan gencatan senjata ini akan membolehkan orang awam yang cedera dipindahkan melalui Rafah dan bantuan kemanusiaan masuk semula ke Gaza.
Hamas bersetuju tetapi meminta 50 hari dan seorang tahanan Palestin dibebaskan setiap 10 hari. Namun regim pengganas menolaknya. Sebaliknya daripada beberapa berita di media barat dapat diperhatikan tuntutan regim genosid tidak konsisten dan sering mengganggu rundingan gencatan senjata.
Pada peringkat lain, Tel Aviv mendesak 10 tawanan yang masih hidup, kemudian 11 – beberapa masih hidup, yang lain mati – sebelum mencadangkan gencatan senjata selama 40 hari, menyebabkan pengantara bingung dan rundingan terhenti.
Namun utusan Washington ke rantau ini, Steve Witkoff, tidak menunjukkan sebarang petunjuk bahawa AS akan memberikan tekanan kepada sekutu dunia akhiratnya supaya bersetuju dengan mana-mana cadangan yang diutarakan pihak pengantara. Sebaliknya, mesej yang dirasai di Doha, Kaherah, dan Gaza ialah sikap acuh tak acuh Amerika. Perhatian Washington, nampaknya, sebaliknya lebih tertumpu pada medan pertempuran di Ukraine dan Yaman.
Dengan kebuluran pada tahap malapetaka, amat sedih apabila sokongan serantau semakin berkurangan dan barisan penentangan – kecuali Yaman – sebahagian besarnya lemah, Hamas kini menghadapi kemelut yang nyata. Pergerakanya kini menghadapi tekanan dalaman (terdapat sebilangan penduduk Palestin yang mula berdemontrasi menentang Hamas) dan luaran untuk menyerah dengan menegaskan bahawa penyerahan bukanlah penyelesaian sebenar.
Jika sesiapa memahami penolakan Hamas bukanlah mengenai kelangsungan hidup atau kesinambungan politik – ia adalah mengenai kesinambungan perjuangan menentang sang penakluk. Jika menerima pengasingan bukan sahaja menandakan berakhirnya perjuangan Hamas untuk menuntut sebuah negara merdeka untuk Palestin, tetapi pembubaran perjuangan bersenjata Palestin ke atas penduduk Palestin.
Lebih teruk lagi, penyerahan tidak bererti membawa keamanan tetapi akan mempercepatkannya proses penyembelihan. Keruntuhan Gaza akan menimbulkan gelombang kejutan melalui Tebing Barat yang diduduki, Baitulmaqdis Timur, dan wilayah lain yang ditawan pada 1948 kerana ia menandakan pengakiran perjuangan Palestin dan permusnahan perwujudan sebuah negara secara muktamad yang akan terpadam dalam lipatan sejarah dan lama kelamaaan akan dilupakan.
Walaupun cadangan gencatan senjata terbaharu itu akan mengurangkan jumlah tawanan perang Israel yang masih hidup – kini dianggarkan 20 daripada 59 – Hamas menerimanya untuk meringankan penderitaan penduduk Palestin . Tetapi realitinya ia hanya suatu ilusi: Israel tidak berhasrat untuk menghentikan perang, terutamanya dengan sokongan penuh politik dan ketenteraan daripada pentadbiran Trump.
Hamas telah memutuskan untuk meneruskan perjuangan tanpa mengira kosnya. “Jika kita hendak disingkirkan,” kata satu sumber kepada media sesawang The Cradle, “biarlah ia dalam kematian yang terhormat, bukan dalam buangan”. Mereka menyebut kejadian genosid di kem pelarian Sabra dan Shatila sebagai pengajaran yang suram: sila renung kemballi sebaik sahaja PLO meninggalkan Lubnan, penduduk kem yang tidak berdaya telah disembelih. Bezanya sekarang Hamas berada di tanah sendiri dalam kalangan rakyatnya sendiri.
Penentangan akan diteruskan walaupun melalui serangan hendap dan menggunakan roket dan Hamas berhasrat untuk menghadapinya, bukan melarikan diri. Malaysia senantiasa menekankan keperluan mendesak pelaksanaan penuh bagi semua fasa perjanjian gencatan senjata, termasuk pertukaran tebusan dan tahanan seperti yang telah dipersetujui oleh semua pihak. Adalah penting
supaya kedua-dua pihak mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui untuk menghentikan konflik yang berterusan dan membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Gaza tanpa sebarang halangan.
Sebarang kelewatan atau penyimpangan daripada perjanjian ini hanya akan memburukkan krisis kemanusiaan dan menjejaskan usaha berterusan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan. Namun regim pengganas sentiasa mencari alasan untuk menggagalkannya dan tidak pernah berhasrat mahukan perdamaian walaupun dalam jangka masa pendek dan lambat laun melanggarnya kerana mereka mengetahui dunia tidak melakukan apa-apa ke atas mereka.
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.