Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres. - Foto AFP

NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan Gaza kini menjadi `medan pembunuhan’ berikutan Israel terus menyekat bantuan kemanusiaan.

“Lebih sebulan telah berlalu tanpa satu pun bantuan masuk ke Gaza. Tiada makanan. Tiada bahan api. Tiada ubat. Tiada bekalan komersial. Apabila bantuan terputus, pintu kepada kengerian kembali terbuka,” kata Guterres kepada wartawan di ibu pejabat PBB seperti dilaporkan AFP.

Sementara itu, merujuk kepada Konvensyen Geneva berhubung layanan terhadap orang awam semasa peperangan, Guterres menekankan kewajipan `kuasa pendudukan’ untuk memastikan makanan dan bekalan perubatan disediakan kepada penduduk.

“Tiada satu pun daripada semua itu berlaku hari ini. Tiada bantuan kemanusiaan dapat memasuki Gaza.

“Cadangan mekanisme ‘kelulusan’ yang baharu dari pihak berkuasa Israel bagi penghantaran bantuan berisiko memperketat dan mengehadkan bantuan dengan kejam, sehingga ke tahap `kalori terakhir dan butir tepung terakhir’,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Israel, Oren Marmorstein segera menolak tuduhan tersebut dan mendakwa `tiada kekurangan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza’.

“Biar saya jelaskan, kami tidak akan menyertai sebarang usaha yang tidak sepenuhnya menghormati prinsip kemanusiaan,” tambah Guterres sambil menuntut jaminan supaya bantuan dapat masuk ke wilayah Gaza tanpa halangan.

Sementara itu, Guterres turut membangkitkan mengenai kebimbangan situasi di Tebing Barat yang kini diduduki tentera Israel.

“Semua usaha ketika ini menemukan jalan buntu, sama sekali tidak boleh diterima dari segi undang-undang antarabangsa dan sejarah,” katanya.

“Tebing Barat yang diduduki berisiko untuk berubah menjadi satu lagi Gaza dengan keadaan lebih buruk.

“Sudah tiba masanya untuk menamatkan tindakan tidak berperikemanusiaan, melindungi orang awam, membebaskan tebusan, memastikan bantuan keselamatan dapat disampaikan dan memperbaharui gencatan senjata,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast