GEORGE TOWN – Polis kini menjalankan siasatan dari pelbagai sudut berhubung kejadian seorang koperal cedera parah akibat tertembak dirinya sendiri dalam kejadian di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, anggota berkenaan kini dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kita juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh mengganggu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Hamzah, anggota yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu didapati melepaskan satu das tembakan daripada senjata yang digunakannya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang koperal cedera akibat tertembak dirinya sendiri menggunakan pistol jenis P99 dalam kejadian jam 6.12 petang di di pos pengawal IPK Pulau Pinang.
Mangsa berusia 58 tahun itu dikatakan bertugas sebagai penyelia pos berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 4 petang namun dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas selesai tugas. – MalaysiaGazette