JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaan negara itu untuk menawarkan perlindungan sementara kepada rakyat Palestin yang cedera dan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat perang Israel-Hamas di Gaza.
“Kami bersedia untuk menyelamatkan mereka yang cedera atau mengalami trauma, serta anak-anak yatim, sekiranya mereka ingin dipindahkan ke Indonesia, dan kami juga bersedia menghantar pesawat untuk membawa mereka,” kata Prabowo seperti dilaporkan agensi berita AP.
Menurut Prabowo, beliau juga telah mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk segera berbincang dengan pihak berkuasa Palestin mengenai pelan pemindahan tersebut.
Jelasnya, Indonesia bersedia untuk memindahkan kumpulan pertama kira-kira 1,000 mangsa, yang akan tinggal di negara itu sehingga mereka pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan Gaza kembali selamat untuk mereka pulang.
Bagaimanapun, Prabowo menegaskan langkah itu bukan untuk penempatan tetap.
Subianto membuat kenyataan tersebut sebelum terbang ke Abu Dhabi hari ini, iaitu destinasi pertama beliau dalam lawatan seminggu ke Asia Barat yang turut merangkumi Turki, Mesir, Qatar dan Jordan.
Tambahnya, beliau juga akan berbincang mengenai pelan pemindahan itu dengan negara-negara berkenaan, yang sebahagiannya juga telah menerima rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan.
Dalam masa sama, Prabowo turut menyatakan beberapa negara telah meminta Indonesia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik di Gaza.
“Ini perkara yang rumit, bukan mudah tetapi saya percaya ia mendorong kerajaan Indonesia untuk memainkan peranan yang lebih aktif,” kata beliau.
Indonesia dengan negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia itu sebelum ini sememangnya sudah lama menjadi penyokong kuat kepada perjuangan rakyat Palestin. – Agensi