KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita sebuah kereta mewah jenis Lamborghini Aventador yang dipandu lelaki warga China tanpa lesen dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Bangsar, di sini, semalam.
Lelaki berusia 28 tahun itu yang bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial, dilaporkan memandu kereta miliknya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanitanya selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.
Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata, kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut adalah antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi bersepadu itu.
“Kami memeriksa sebanyak 1,627 kenderaan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 211 kenderaan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan. Kami turut menyita 24 motosikal, dua kenderaan barangan, dan sebuah kereta.
“Kami juga telah mengeluarkan 463 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada cukai jalan, tiada insurans, dan pengubahsuaian kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi yang bermula pada 8 malam semalam.
Hamidi berkata operasi tersebut melibatkan 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi, antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Pada masa yang sama, JSPT memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 30 saman, manakala JIM memeriksa 29 warga asing dan menahan seorang lelaki serta dua wanita warga Indonesia.
“AADK pula telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 37 individu dan menahan dua lelaki serta seorang wanita kerana positif dadah jenis ganja,” katanya.
Sebelum ini, Hamidi berkata JPJ WPKL mengeluarkan sebanyak 4,559 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang berlangsung selama 14 hari bermula 24 Mac sehingga semalam (8 April).
“Sebanyak 15,490 kenderaan diperiksa di beberapa lokasi utama sekitar ibu negara termasuk Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Bersepadu Gombak, lebuh raya serta jalan-jalan utama.
“Hasil pemeriksaan mendapati 1,729 kenderaan diambil tindakan manakala 24 kenderaan turut disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.
Beliau berkata operasi itu dijalankan untuk memastikan keselamatan jalan raya, terutamanya semasa musim perayaan, serta mengurangkan kadar kemalangan melalui penguatkuasaan dan advokasi. – BERNAMA