MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memberi jaminan harga santan segar di negeri ini mencukupi dan tidak akan melebihi harga kawalan RM17.50 sepanjang musim rumah terbuka Aidilfitri ini.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, walaupun sebelum ini timbul desas-desus akan berlaku kenaikan harga santan akibat kekurangan bekalan kelapa di pasaran, usaha mengekang peningkatan harga sudah dilakukan.
“Sebelum berlakunya kenaikan, kita sudah mengadakan libat urus bersama pengusaha dan peniaga santan di negeri ini bagi mengenal pasti punca kenaikan yang berlaku agar harganya dapat terus dikawal.
“Di Melaka harga pasaran santan antara RM15 hingga RM17 setiap sekilogram dan harga paling tinggi RM17, lebih rendah berbanding hharga maksimum RM17.50 sekilogram sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri,” katanya.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan pasca Aidilfitri KPDN Melaka di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat lebih 70 penguat kuasa KPDN Melaka akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan santan di pasaran terkawal dan mencukupi.
“Sekiranya di antara peniaga santan cuba mengambil kesempatan dengan menjual dengan harga lebih tinggi dari harga kawalan, tindakan tegas akan diambil.
“Kita harap, masyarakat juga dapat menjadi mata dan telinga kepada kami supaya melaporkan sebarang kes kenaikan harga melalui nombor WhatsApp 019-848 8000,” katanya. – MalaysiaGazette