KUALA LUMPUR – Kereta Lamborghini Aventador yang dipandu seorang lelaki warga China tanpa lesen tidak disita seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) memaklumkan, pemandu terbabit hanya dikenakan saman dalam Operasi Khas Bersepadu Hari Raya Aidilfitri 2025 yang dilakukan di Jalan Bangsar semalam.
Katanya, tindakan saman dikenakan kepada pemandu itu dan kenderaan tersebut dibenarkan untuk dibawa pulang oleh seorang penumpang yang memiliki lesen yang sah.
“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang mungkin timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam dipetik berkata, kereta tersebut adalah antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi berkenaan.
Lelaki berusia 28 tahun itu yang bekerja sebagai pencipta kandungan media sosial dilaporkan memandu kereta miliknya untuk pulang ke rumah di Damansara Heights bersama teman wanitanya selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:-
JPJ KL sita Lamborghini Aventador, lelaki China pandu tanpa lesen