Pasangan suami isteri dan ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (tengah) dan Ismanira Abdul Manaf (kiri) bersama-sama lawyer keluar dari pekarangan Mahkamah selepas selesai perbicaraan pertuduhan pengabaian di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025.

PETALING JAYA – Pasukan peguam bela ibu bapa kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin kecewa kerana permohonan mendapatkan carian minit prosiding reman pasangan suami isteri itu ditolak ‘pihak atasan’.

Peguam utama pembelaan, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata, minit prosiding itu penting bagi pihaknya menyoal balas saksi seterusnya, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail.

Difahamkan perkara itu berkaitan dengan penahanan pasangan suami isteri itu sebelum ini.

Dakwa Haresh, pihaknya dimaklumkan ada ‘arahan pihak atasan’ untuk tidak membekalkan minit prosiding reman tersebut.

Mendengar keluhan itu, pasangan suami isteri yang duduk di kandang salah saling berbisik sesama sendiri sambil mengelengkan kepala mereka berkali-kali.

“Ini sangat mengejutkan dan mengecewakan kami. Tindakan ini boleh menyebabkan anak guam kami tidak terima perbicaraan yang adil,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.

Haresh juga menunjukkan surat permohonan yang dibuat pada 18 Februari lepas dan penolakan itu kepada hakim.

Ketika bercakap dengan media di luar mahkamah, Haresh berkata, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pukul 4.25 petang 19 Februari lalu memaklumkan carian minit prosiding reman tidak akan dibekalkan atas arahan pihak atasan.

“Kita juga hendak tahu siapa yang dimaksudkan ‘pihak atasan’ ini? Mengapa ada campur tangan seperti ini?” soalnya.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada 5 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here