Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Tumpuan dalam kes saman membabitkan pembelian barangan mewah bernilai ratusan juta ringgit yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini beralih sepenuhnya kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini selepas saman terhadap defendan kedua, Shabnam Naraindas Daswani, ditarik balik.

Shabnam yang merupakan warga Singapura juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri, sebelum ini dinamakan dalam saman berprofil tinggi yang difailkan 1MDB bersama lima anak syarikat serta beberapa entiti luar pesisir lain pada Mei tahun lalu.

Perkara itu telah disahkan peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Shabnam.

“Semua plaintif telah menarik balik tuntutan terhadap anak guamnya melalui prosiding dalam talian yang dijalankan hari ini,” katanya kepada media.

Dengan penarikan balik tersebut, Rosmah kekal sebagai defendan tunggal dalam kes saman yang mendakwa pembelian ribuan barangan mewah termasuk barang kemas, jam tangan dan beg berjenama menggunakan dana diseleweng daripada syarikat milik negara.

Antara entiti yang memfailkan saman ialah 1MDB dan anak-anak syarikatnya termasuk SRC International Sdn Bhd, serta syarikat luar pesisir yang didakwa terlibat dalam aliran wang seperti Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone.

Kesemua plaintif menuntut Rosmah membayar semula AS$346 juta atau jumlah yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Mereka turut memohon beberapa perisytiharan, termasuk mendakwa Rosmah memegang barangan tersebut atas dasar amanah konstruktif bagi pihak 1MDB dan berhak untuk menuntut kembali aset-aset mewah terbabit.

Syarikat Blackrock dan Blackstone yang dikaitkan dalam saman ini sebelum ini dilapor mempunyai hubungan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Eric Tan.

Dengan Shabnam kini bukan lagi sebahagian daripada kes ini, semua mata kini terarah kepada proses mahkamah yang akan menentukan sama ada Rosmah bertanggungjawab terhadap dakwaan pembelian mewah menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here