Api menjulang tinggi dari lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

Oleh: Dr. Zuritah A.Kadir & Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin

KEMAJUAN sektor industri di Malaysia telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Namun pada masa yang sama, ia turut membawa pelbagai risiko keselamatan dan kesihatan kepada masyarakat, khususnya yang tinggal berhampiran kawasan perindustrian.

Kegiatan seperti penyimpanan bahan kimia berbahaya, penggunaan gas mudah meletup, serta operasi jentera berat mempunyai potensi untuk mencetuskan insiden kecemasan seperti kebakaran, letupan dan tumpahan bahan toksik. Situasi ini menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan pekerja industri, tetapi juga masyarakat setempat.

Insiden letupan paip gas yang berlaku di kawasan kediaman Putra Heights baru-baru ini telah mengejutkan negara dan mengundang kebimbangan ramai. Letupan itu bukan sahaja merosakkan beberapa harta benda, malah mengancam keselamatan nyawa penduduk berhampiran.

Walaupun kemalangan industri yang melibatkan orang awam secara langsung amat jarang berlaku di Malaysia, kes ini menjadi pembuka mata bahawa risiko tetap wujud dan tidak boleh dipandang ringan. Masyarakat perlu memahami risiko seperti ini bukan hanya tanggungjawab syarikat gas atau pihak berkuasa, tetapi juga melibatkan peranan aktif penduduk setempat.

Kejadian ini menimbulkan persoalan kritikal, adakah rakyat Malaysia benar-benar bersedia berdepan bencana yang berlaku secara tiba-tiba dan dalam skala besar?. Dalam konteks ini, empat pihak utama iaitu industri, kerajaan, akademia, dan masyarakat memainkan peranan yang saling melengkapi. Industri, perlu lebih telus dalam menyampaikan maklumat mengenai risiko dan pelan kecemasan kepada komuniti berhampiran.

Pemantauan berterusan, penyelenggaraan infrastruktur yang betul, dan pematuhan kepada piawaian keselamatan adalah keutamaan yang tidak boleh diabaikan. Sementara itu, pihak kerajaan dan agensi penguatkuasa tempatan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Suruhanjaya Tenaga perlu mempertingkatkan penguatkuasaan serta menyediakan garis panduan jelas berkaitan pembangunan berhampiran infrastruktur utiliti. Mereka juga harus bertanggungjawab mengadakan latihan evakuasi, bengkel keselamatan, dan sesi libat urus secara berkala dengan penduduk setempat untuk meningkatkan kesiapsiagaan.

Akademia juga memainkan peranan penting dalam menjalankan penyelidikan berkaitan dengan risiko industri, teknologi keselamatan pintar dan pendekatan berasaskan data untuk ramalan serta mitigasi bencana. Institusi pendidikan tinggi juga boleh membantu menyampaikan maklumat ini melalui pendidikan komuniti dan modul pembelajaran yang mudah difahami oleh orang awam.

Akhir sekali, masyarakat yang tinggal berdekatan kawasan berisiko perlu lebih proaktif dengan mengambil tahu mengenai pelan evakuasi, mengenal pasti tanda-tanda awal kebocoran gas, dan mengetahui kepada siapa untuk melaporkan insiden tersebut. Kesedaran dan tindakan awal dari orang awam bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, tetapi juga mengurangkan impak kerosakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Antara perkara yang wajar diketahui oleh masyarakat awam termasuklah tanda-tanda awal kebocoran gas seperti bau menyengat, bunyi mendesis dari bawah tanah, atau wap keluar dari permukaan tanah. Selain itu, sebarang kerja pengorekan oleh kontraktor atau pemilik rumah perlu mendapatkan kebenaran dan semakan lokasi utiliti terlebih dahulu.

Ketidakpatuhan terhadap prosedur ini boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada pekerja, malah seluruh komuniti. Dalam situasi begini, masyarakat juga perlu mengambil tahu mengenai pelan evakuasi, laluan kecemasan, serta lokasi selamat sekiranya berlaku kemalangan. Pengetahuan ini mampu menyelamatkan nyawa dalam detik genting.

Selain itu, dalam usaha memperkasa keselamatan awam, peranan industri dan pihak berkuasa tempatan amat penting. Syarikat utiliti dan agensi kerajaan yang terlibat perlu menyampaikan maklumat risiko secara telus kepada komuniti, khususnya yang tinggal berhampiran kemudahan industri.

Sesi libat urus dan latihan kecemasan (dril evakuasi) wajar diadakan secara berkala dengan kerjasama penduduk, jabatan bomba, polis, pihak kesihatan dan agensi-agensi yang berkaitan. Latihan ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat, malah membina kepercayaan antara pihak industri dan komuniti setempat.

Iktibar besar yang boleh diambil daripada insiden ini adalah pentingnya pengetahuan masyarakat mengenai aktiviti industri di kawasan berhampiran kediaman mereka. Ramai yang tidak sedar akan wujudnya paip gas utama, tangki simpanan bahan kimia atau loji rawatan yang terletak hanya beberapa meter dari rumah mereka.

Pengetahuan ini amat penting agar penduduk dapat bertindak awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan juga membuat aduan kepada pihak berkuasa jika terdapat aktiviti mencurigakan atau berisiko. Walaupun Malaysia secara umumnya mempunyai rekod keselamatan industri yang baik, kes di Putra Heights membuktikan satu kejadian sudah cukup untuk mengundang kesan besar kepada masyarakat.

Maka, budaya keselamatan mesti disemai dan dikongsi – bukan sahaja oleh pihak industri, tetapi juga oleh penduduk yang tinggal bersebelahan dengannya. Hanya dengan ilmu, kerjasama dan kesedaran bersama, barulah kita dapat membina komuniti yang benar-benar selamat dan bersedia.

Dr. Zuritah
Dr Ezrin

 

 

 

 

 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan dari Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti tun Hussein Onn Malaysia 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here