KUALA LUMPUR – Negara-negara ASEAN disaran untuk merebut peluang bagi mengembalikan keyakinan dengan memperkukuhkan kekuatan dalaman menerusi ekonomi domestik dan keseluruhan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara anggota juga perlu memastikan hubungan sesama sendiri kekal kukuh di samping memperkukuhkan hubungan dengan negara Asia dan negara jiran yang lain.
Jelas beliau yang Pengerusi ASEAN, mereka juga diminta agar tidak berpegang kepada naratif pesimis dan mengambil sikap berputus asa susulan isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
“Kita meneruskan hubungan dua hala dan hubungan dagangan serta pelaburan yang baik dengan AS.
“Pada masa sama, ASEAN perlu juga memastikan bahawa hubungan khususnya dengan China, Jepun, Korea dan negara-negara jiran, kekal kukuh dan mantap. Kenapa? Kerana kita perlu melindungi ekonomi kita sendiri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Anwar menambah, keamanan di rantau ASEAN dapat dijamin sekiranya asas ekonomi setiap negara anggota itu kekal kukuh.
Beliau yang Menteri Kewangan berkata, senario itu juga dapat memastikan hubungan baik dengan semua jiran tetangga ASEAN.
Beliau turut menegaskan, China adalah pemain penting yang tidak boleh diabaikan di rantau ini.
“Beberapa negara mungkin mempunyai masalah tetapi kita akan terus mengemudi secara terbaik demi menjamin keamanan dan keselamatan.
“Ia bagi memastikan kita mendapat manfaat maksimum dalam bentuk pelaburan ekonomi dan sektor berkaitan,” katanya.
Berhubung lawatan negara oleh Presiden China, Xi Jinping bermula 15 hingga 17 April ke negara ini, Anwar menyifatkan ia satu cabaran besar bukan sahaja untuk Malaysia malah negara ASEAN yang lain dalam menunjukkan makna sebenar keutamaan serantau.
“Mengapa kita perlu melibatkan semua anggota dan mengapa pendekatan kita yang lebih positif dan pragmatik dalam berurusan dengan semua pihak adalah penting.
“Harapan kita ialah isu-isu yang kontroversi dapat diselesaikan.
“Kedudukan ASEAN adalah jelas, kita menyokong perdagangan bebas dan berpandukan peraturan.
“Ini bermakna kita terus komited terhadap penyertaan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia sebagaimana yang telah kita lakukan sejak beberapa dekad lalu.
“Jadi saya tidak melihat ini sebagai satu masalah besar,” katanya. – MalaysiaGazette