ISKANDAR PUTERI – Seorang bayi lelaki berusia lima bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kangkar, Pulai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada ibu mangsa iaitu wanita tempatan berusia 31 tahun pada pukul 4.24 petang semalam.
“Mangsa tidak sedarkan diri setelah dikejutkan daripada tidur oleh pengasuh iaitu seorang wanita tempatan berumur 34 tahun.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital.
“Bedah siasat telah dijalankan ke atas mangsa dan mendapati tiada kesan kecederaan luaran tubuh badan mangsa. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan mati mengejut (SDR) dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta kanak-kanak 2001 iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.
Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat kes tersebut termasuk waktu sebenar bayi berkenaan ditemui tidak sedarkan diri.- MalaysiaGazette