Gambar hiasan

PULAU PINANG – Badminton menerima gelaran sukan rakyat kerana digemari pelbagai lapisan masyarakat, malahan aktiviti sukan itu boleh dilakukan dengan hanya berbekalkan raket dan bulu tangkis.

Namun, perubahan harga bulu tangkis yang mendadak mungkin menyebabkan sukan itu menjadi aktiviti mewah kerana dua kenaikan harga telah berlaku pada tahun ini sahaja.

Kenaikan harga juga menyebabkan raket badminton malah boleh jadi lebih murah berbanding satu dozen bulu tangkis.

Walaupun sudah ada bulu tangkis sintetik yang tahan lama, namun penggemar sukan badminton lebih suka menggunakan bulu tangkis tradisional kerana berasa “lain macam” dengan produk sintetik.

Memetik seorang pemilik kedai peralatan sukan, Liu Zhong Nan, Kwong Wah Yit Poh melaporkan, satu dozen bulu tangkis kelas kedua yang dijual pada harga RM85 sebelum ini, telah melonjak ke sekitar RM95.

Untuk bulu tangkis kelas pertama pula, harga jualan telah meningkat daripada RM95 kepada RM105.

“Kenaikan harga bulu tangkis adalah lebih kencang berbanding harga emas dan harga yang tinggi juga menjejaskan jualan,” kata peniaga peralatan sukan itu.

Kata Zhong Nan, kenaikan harga didorong oleh kekurangan bekalan bulu angsa dan bulu itik, selain kos pengangkutan dan pekerja yang turut meningkat.

Menurutnya, bulu tangkis daripada bulu angsa menjadi pilihan orang Malaysia manakala penduduk Thailand dan Indonesia menggemari bulu tangkis daripada bulu itik.

“Walaupun bulu itik lebih murah, tetapi juga lebih mudah patah,” katanya.

Mengenai bulu tangkis yang dikitar semula, Zhong Nan berkata, bulu tangkis terpakai akan dikutip dan dibaiki supaya boleh diguna semula, khususnya untuk tujuan latihan.

“Bulu tangkis yang dikitar semula mungkin dijual pada separuh harga berbanding yang baharu, tetapi kelajuannya sangat berbeza berbanding bulu tangkis baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here