Desmond Ang (depan) dan Jesper Yap (belakang) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini untuk didakwa atas pertuduhan memperdagangkan tiga lelaki.

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dan pembantu kedai aksesori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga lelaki bagi maksud eksploitasi kerja di daerah ini dan Myanmar hujung 2024 hingga Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Whei Cheng, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pendakwaan, mereka secara bersama-sama berdepan dua pertuduhan mencapai niat bersama-sama memperdagangkan dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun, bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara perdayaan.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah restoran di Taman Maju Jaya di sini pada awal Disember 2024 hingga 14 Februari lalu.

Sementara itu, Jasper Yap berdepan dengan satu lagi pertuduhan memperdagangkan seorang lelaki berumur 21 tahun, bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara perdayaan.

Perbuatan tersebut dilakukan di Shwekkoko, Myanmar antara 7 hingga 14 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007) dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Kodesviary , manakala Desmond Ang diwakili Peguam Mohammad Muzzamil Mohammad Hairiri manakala Jesper Yap tidak diwakili peguam.

Kodesviary dalam pendakwaannya memohon agar tiada jaminan diberikan terhadap Jasper Yap kerana tertuduh juga berdepan pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Batu Pahat terhadap mangsa berlainan dengan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun Kodesviary memohon agar jaminan ditawarkan RM60,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan mengikut budi bicara, berserta syarat tambahan.

Kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana jumlahnya terlalu tinggi dan masing-masing tidak mempunyai pendapatan tetap.

Jesper Ang berkata, dia juga menanggung adik yang masih bersekolah dan nenek yang sudah uzur selain isterinya sedang mengandung dan bakal melahirkan anak bulan depan.

Mahkamah mengenakan jaminan terhadap Jasper Yap sebanyak RM24,000 bagi setiap pertuduhan manakala RM15,000 dikenakan terhadap Desmond Ang, untuk setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam bagi Jasper Yap.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here