MELAKA – Seorang ejen perumahan ditemukan mati di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu disedari seorang wanita yang menghubungi polis memaklumkan saudara lelakinya itu, dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam SUV jenis Proton X50.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pengadu kemudian cuba mengetuk cermin SUV milik lelaki itu, Toh Wen Hui, 34, yang dalam keadaan berwap namun pemuda itu masih tidak sedarkan diri.

“Selepas menghubungi bomba dan ambulans, petugas perubatan Hospital Melaka mengesahkan lelaki itu yang beralamat di
Skudai, Johor telah meninggal dunia.
“Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang tiba di lokasi pada jam 12.30 malam mengesahkan tiada kesan kecederaan dan unsur jenayah pada badan si mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya sebelum kejadian, si mati yang masih bujang ada menghubungi ibunya pada jam 11 malam Selasa lalu memberitahu dia berada di sebuah hotel di Seremban.
“Si mati juga dikatakan ada mengirimkan pesanan WhatsApp kepada ibunya memberitahu mahu bunuh diri kerana tidak dapat melangsaikan hutang pelanggannya.
“Daripada RM700,000 mangsa hanya bayar RM200,000.
“Namun, tiada sebarang nota ditinggalkan di dalam kenderaan ketika kejadian semalam,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette