GEORGE TOWN – Koperal yang parah akibat tertembak kepalanya sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, pada Selasa lalu meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Koperal, A. Francis, 58, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pukul 5.12 petang tadi di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) HPP.
Mendiang berkhidmat di Kem Komandan, Jabatan Pengurusan, IPK Pulau Pinang itu sebelum ini mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat insiden tertembak diri sendiri pada Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga anggota berkenaan.
“Saya, isteri serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
“Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudah segala urusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi PDRM Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu, Polis Pulah Pinang menegaskan tiada keperluan untuk memperketatkan penggunaan senjata api dalam kalangan anggotanya susulan insiden seorang koperal cedera parah di bahagian kepada susulan tertembak dirinya sendiri.
Hamzah berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi penggunaan senjata api sedia ada sudah mencukupi.
Katanya, pihak polis juga telah merakamkan keterangan bekas isteri anggota bekenaan bagi membantu siasatan lanjut.
“Masih terlalu awal untuk kita dedahkan punca kejadian berhubung dakwaan anggota itu berhutang kerana siasatan masih belum selesai sepenuhnya,” katanya.
MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, seorang anggota polis cedera parah akibat tertembak dirinya sendiri dalam kejadian di pos pengawal IPK Pulau Pinang
Dalam kejadian kira-kira jam 6.12 petang, koperal lelaki berusia 58 tahun itu dilaporkan tertembak bahagian kepalanya menggunakan pistol jenis P99.
Mangsa yang berstatus duda itu dikatakan kemurungan sebelum kejadian selain didakwa mempunyai masalah hutang. – MalaysiaGazette