Suspek, Mohd Zulfika Abdul Rahman yang terlibat membelasah seorang lelaki di hadapan rumah ibunya di Medan Seri Keramat malam Raya kelihatan beredar dari Mahkamah Ampang hari ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang ahli perniagaan dalam kejadian serangan oleh sekumpulan lelaki pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Zulfika Abdul Rahman, membuat pengakuan itu mengangguk sambil berkata ‘ya’ selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mohd Zulfika yang berbaju gelap hadir di mahkamah itu ditemani ahli keluarnaya memakai pelitup muka.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Zulfika didakwa bersama lapan lagi lelaki yang masih bebas kerana menyerang Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil, 38, dengan menggunakan buku lima, kayu serta menendang mangsa beramai-ramai.

Insiden itu berlaku di hadapan sebuah rumah ibu mangsa di Taman Sri Keramat pada 11.30 malam, 30 Mac lalu.

Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata kanan dan kepala sebelum menerima rawatan di Hospital Ampang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sekiranya gagal membayar denda, Mohd Zulfika boleh dipenjara selama sebulan.

Bagaimanapun, beliau membayar denda tersebut di mahkamah hari ini.

Ketika prosiding, peguam mewakili tertuduh, Wan Nur Afifah Che Bakar memohon hukuman denda minimum dikenakan atas alasan Mohd Zulfika menanggung seorang isteri dan dua anak kecil berusia dua dan empat tahun, dengan anak sulungnya disahkan sebagai autisme.

Kata Nur Afifah, anak guamnya sudah insaf dan ini merupakan kali pertama melakukan kesalahan seumpama ini.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kejadian berlaku pada malam Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya menjadi waktu yang aman dan menggembirakan.

“Jangan biarkan pengakuan salah itu sebagai diskaun kepada kesalahan dilakukan tertuduh yang begitu serius, mangsa telah dicederakan secara sengaja. Kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi tertuduh,” hujahnya.

Suspek, Haziq Hezri yang terlibat membelasah seorang lelaki di hadapan rumah ibunya di Medan Seri Keramat malam Raya kelihatan beredar dari Mahkamah Ampang hari ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 APRIL 2025

Dalam prosiding berasingan, seorang lagi lelaki, Muhammad Haziq Hezri, 23, yang turut didakwa atas pertuduhan sama, mengaku tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haziq diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mendekati mangsa, dan menetapkan tarikh 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, MalaysiaGazette pernah melaporkan aduan mangsa tampil membuat rayuan kepada pihak polis untuk mendapatkan keadilan buat diri dan keluarganya selepas di serang 10 lelaki pada malam Raya.

Mangsa yang cedera parah kemudian dimasukkan ke zon merah selama dua hari dan disahkan mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang di bahagian bawah mata kanan serta kedua-dua sisi hidung. – MalaysiaGazette

Peniaga dakwa dipukul 10 lelaki rayu bantuan polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here